RM5,000 PEMADAM setiap daerah gerak perangi dadah

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mempergiat usaha memerangi penyalahgunaan dadah dengan memperkasakan peranan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di peringkat daerah menerusi pemberian sumbangan RM5,000 kepada setiap cawangannya.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dana itu bertujuan membantu PEMADAM daerah merancang serta melaksanakan program pencegahan dan kesedaran mengikut keperluan komuniti setempat.

- Advertisement -

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil pendekatan lebih agresif dalam usaha membendung gejala dadah dengan memberi tumpuan kepada aspek pencegahan sebelum masalah menjadi lebih serius.

“Prinsip kita jelas, mencegah lebih baik daripada merawat. Sebab itu kita mahu seluruh masyarakat terlibat, bukan hanya agensi kerajaan semata-mata.

“JPKK, masjid, NGO, parti politik dan pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan usaha memerangi dadah dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra PEMADAM Negeri Terengganu di TER Kuala Ibai, di sini semalam.

Menurutnya, pelbagai program kerajaan negeri termasuk karnival di peringkat daerah akan terus dimanfaatkan sebagai platform menyampaikan mesej antidadah kepada masyarakat.

Jelasnya, program berkenaan bukan sahaja melibatkan pameran dan penerangan daripada PEMADAM serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), malah turut merangkumi aktiviti kebajikan kepada keluarga yang terkesan akibat masalah penagihan.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pusat pemulihan dadah milik kerajaan negeri, Darul Barakah, kini menempatkan lebih 100 pelatih yang sedang mengikuti proses pemulihan.

“Kita sedang menambah baik beberapa aspek pengurusan dan dalam proses mendapatkan pendaftaran di bawah AADK.

“Sekiranya berjaya, pusat ini berpeluang menerima geran tahunan yang membolehkan lebih banyak program pemulihan dan pembangunan insan dilaksanakan pada masa hadapan,” katanya.

Muhammad Khalil menambah, kerajaan negeri juga tidak mengetepikan nasib keluarga yang terpaksa berdepan kesan akibat masalah dadah apabila pelbagai bantuan kebajikan terus disalurkan melalui JPKK dan agensi berkaitan.

“Selalunya keluarga menjadi pihak yang paling terkesan. Jadi kita mahu mereka terus diberi perhatian dan sokongan supaya tidak berasa terpinggir,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 22/7/2026

- Advertisement -