Muafakat Melayu-Islam N9 boleh ke peringkat nasional

Penyatuan Ummah benteng kuasa politik Melayu-Islam terus kukuh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesefahaman yang terjalin melibatkan parti-parti terbesar Melayu-Islam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 bukan sahaja relevan di peringkat negeri, malah boleh diaplikasikan sehingga ke peringkat lebih tinggi termasuk nasional.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, kesepakatan tersebut adalah demi maslahat dan kepentingan rakyat seluruhnya.

- Advertisement -

“(Kesepakatan itu) bagi menolak pihak-pihak yang jelas gagal dalam urus tadbir serta lemah dari sudut tatakelola dalam menguruskan negara dan memelihara kebajikan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang mengutamakan kebenaran, keadilan dan perpaduan perlu terus disuburkan serta dipertahankan.

“Marilah kita bersama-sama berdoa agar Allah SWT mempermudahkan urusan ini dan memenangkan perjuangan Islam,” serunya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong.

Dewan Ulamak PAS Pusat jelasnya, mengucapkan syukur, menyambut baik dan menyokong penuh langkah kesepakatan yang dibina melibatkan parti-parti terbesar Melayu-Islam menjelang PRN tersebut.

Mohd Nor memaklumkan, muafakat tersebut adalah satu perkembangan yang amat positif dalam usaha menjayakan agenda besar Penyatuan Ummah di negara ini.

Menurut beliau, keadaan politik orang Melayu-Islam yang semakin terancam ketika ini mendesak supaya kuasa politik tersebut dipertahankan dengan seutuhnya.

“Justeru, adalah menjadi satu kewajipan buat semua parti berteraskan Melayu dan Islam untuk mengetepikan perbezaan dan bersatu padu,” serunya.

Beliau menyatakan, sejak kebelakangan ini timbul pelbagai isu yang meresahkan dan membimbangkan urat nadi umat Islam.

Terutamanya jelas beliau, perkara yang menyebabkan masyarakat Melayu-Islam merasakan kepentingan serta kedaulatan hak mereka semakin hari semakin dicabar secara terbuka.

Mohd Nor berkata, umat Islam wajib mengambil iktibar daripada peringatan Allah SWT mengenai bahaya perpecahan dan kesan membiarkan musuh saling bersekutu berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfāl ayat 73.

Beliau menyatakan, bagi memastikan usaha tersebut mendapat keberkatan, keampunan serta reda Allah SWT, kesepakatan itu perlu didasari dengan keikhlasan yang hakiki daripada semua pihak.

Katanya, matlamat utama mestilah untuk memelihara kuasa politik orang Melayu-Islam daripada diancam kepupusan yang akhirnya hanya akan merugikan seluruh pihak dan generasi akan datang.

Sehubungan itu, Mohd Nor menyeru seluruh orang Melayu-Islam khususnya pengundi di Negeri Sembilan supaya keluar menyokong penuh usaha murni berkenaan.

“Tanpa dukungan dan undi daripada rakyat, gagasan penyatuan ini tidak akan berhasil diterjemahkan ke dalam bentuk kuasa pemerintahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2026

- Advertisement -