
SEREMBAN: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menegaskan, kerjasama antara PAS dan Umno perlu diperkukuhkan bagi mengembalikan kekuatan politik Melayu-Islam, sekali gus menjamin kestabilan negara serta masa depan generasi akan datang.
Beliau berkata, sejarah membuktikan perpecahan dalam kalangan umat Islam hanya memberi keuntungan kepada pihak lain, justeru penyatuan perlu dijadikan keutamaan.
“Allah SWT telah memberi amaran sejak 1,400 tahun lalu, jangan kamu bertelagah, kerana jika kamu berpecah, kekuatan dan kehebatan kamu akan hilang. Kita mempunyai kira-kira 65 peratus orang Islam dan Bumiputera.
“Tetapi apabila kita berpecah, akhirnya politik kita dikawal oleh kelompok yang jumlahnya lebih kecil kerana mereka bersatu,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Perdana PERIKATAN NASIONAL di Kampung Paroi, di sini.
Memetik Surah al Anfal ayat 46, beliau mengingatkan umat Islam supaya mengelakkan perpecahan kerana ia akan melemahkan kekuatan serta kedudukan mereka.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary serta Ketua Penerangan Umno Bahagian Rembau, Ustaz Zulkifli Muhammad.
Idris berkata, pengalaman pentadbiran di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini membuktikan pelbagai dasar yang diperkenalkan menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu dan Islam.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih membimbangkan selepas PH kembali memerintah apabila timbul beberapa cadangan termasuk pilihan raya pihak berkuasa tempatan, pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar hiburan serta isu berkaitan Kampung Baru yang didakwanya mengguris perasaan orang Melayu.
“Apabila kita berpecah, orang lain yang bersatu akan menguasai keadaan. Itulah yang berlaku kepada politik negara,” ujarnya yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Mengulas berkenaan kerjasama PAS dan Umno yang dituduh bersifat perkauman, Ahli Parlimen Bagan Serai itu menegaskan bahawa Islam membezakan antara perpaduan dan asabiah.
Beliau berkata, asabiah yang dilarang ialah membantu kaum sendiri dalam perkara zalim, bukannya memelihara kepentingan masyarakat secara adil.
“Kalau kita memilih membeli di kedai orang Melayu, itu tidak salah. Yang salah ialah kalau kita membakar kedai orang lain. Itu yang dilarang Islam,” jelasnya.
Beliau berkata, masyarakat Melayu sejak dahulu dididik supaya menghormati kaum lain sehingga masyarakat bukan-Islam dapat hidup aman di kawasan majoriti Melayu.
Menurutnya lagi, Kerajaan PAS di Kelantan sentiasa menitikberatkan keadilan kepada masyarakat bukan Islam kerana Islam melarang kezaliman terhadap sesiapa sahaja.
“Kami bukan takut mereka tidak mengundi kami, tetapi kami takut apabila mati nanti ditanya Allah mengapa berlaku zalim kepada orang bukan-Islam,” tegasnya.
Dalam ceramah sama, Idris turut menyindir beberapa janji manifesto PH yang masih gagal ditunaikan, antaranya pemansuhan tol, penghapusan pinjaman PTPTN, penurunan harga kereta.
Juga siaran percuma Liga Perdana Inggeris, harga petrol RM1.50 seliter, pemansuhan Akta Hasutan dan SOSMA serta peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen.
Beliau turut mempersoalkan pelaburan RM200 juta Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) ke dalam sebuah syarikat pemula, sambil menyifatkan keputusan itu perlu diberikan penjelasan kepada rakyat.
Pada masa sama, beliau memuji bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak yang menunjukkan ketabahan ketika berdepan pelbagai kritikan sepanjang mentadbir negara serta pernah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tanpa menjadikannya sebagai janji pilihan raya.
Idris turut menyeru pengundi memberi sokongan kepada calon PERIKATAN NASIONAL di kawasan yang ditandingi gabungan itu, manakala di kawasan tidak ditandingi PN, beliau meminta pengundi menyokong calon Barisan Nasional (BN).
“Tempat yang ada PERIKATAN NASIONAL (PN), pangkah PN. Tempat yang tidak ada PN tetapi ada BN, pangkah BN. Ini jelas, tidak berselindung lagi. Kita sudah serik dengan apa yang telah kita alami,” katanya.
Beliau turut mengingatkan golongan muda supaya tidak mensia-siakan undi kerana mereka merupakan penentu masa depan politik Negeri Sembilan.
“Kita bukan bercakap tentang masa depan kita. Kita bercakap tentang masa depan anak cucu kita. Kita mahu menunjukkan bahawa Melayu boleh bersatu. Apabila Melayu kuat, insya Allah keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran akan dapat diwujudkan.
“Melayu selamat, Islam selamat. India selamat, Cina selamat, Dayak, Murut dan Kadazan juga akan selamat apabila kita berpegang kepada prinsip Islam,” katanya.
Beliau optimis kerjasama PAS dan Umno yang bermula di Johor dan diteruskan di Negeri Sembilan mampu menjadi titik tolak kepada pembentukan kerajaan baharu pada masa hadapan sekiranya momentum perpaduan itu terus diperkukuhkan. – HARAKAHDAILY 22/7/2026











