SG4 bukti PN tidak menindas kaum bukan-Islam

Lim Guan Seng (kanan) bersama Ketua DHPP Pusat, Kumaresan Baby Kalidawson semasa perarakan penamaan calon PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, Sabtu lalu.
- Advertisement -

SEREMBAN: Masyarakat bukan-Islam di Negeri Sembilan diminta tidak terpengaruh dengan dakwaan cuba menakut-nakutkan mereka terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN) yang dimainkan oleh pihak tertentu.

Timbalan Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Lim Guan Seng sebaliknya mengajak mereka melihat sendiri rekod pentadbiran PAS di Kelantan yang telah berlangsung selama lebih tiga dekad.

- Advertisement -

Menurut beliau, mereka juga perlu melihat bagaimana layanan pimpinan kerajaan negeri itu dan sebagaimana juga di bawah SG4 lain iaitu Terengganu, Kedah dan Perlis terhadap masyarakat kaum bukan-Islam.

Katanya, pengalaman Kelantan sebagai ‘abang sulung’, serta Terengganu dan Kedah perlu dijadikan panduan untuk membuktikan dakwaan masyarakat bukan-Islam ditindas di bawah pentadbiran PAS adalah tidak benar.

Jelas Guan Seng, setiap kali tiba Pilihan Raya Umum (PRU), PRN atau Pilihan Raya Kecil (PRK), isu berkenaan sering dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk menarik perhatian golongan bukan-Muslim.

Menurut beliau, Jentera DHPP peringkat Pusat atau negeri-negeri tidak akan berdiam diri dan seterusnya akan turun berkempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili PERIKATAN NASIONAL (PN).

“Kita akan menjelaskan kepada masyarakat Cina, India atau lain-lain bangsa supaya tidak perlu takut kepada calon PN sama ada yang bertanding itu kaum India, Cina atau Melayu.

“Kita mempunyai bukti melalui pengalaman pentadbiran PAS di Kelantan, selain Terengganu dan Kedah yang mana masyarakat bukan-Islam dapat hidup seperti biasa tanpa sebarang penindasan,” katanya.

Menurutnya lagi, Kelantan yang ditadbir PAS sejak lebih 30 tahun menjadi contoh terbaik, sedangkan dakwaan negatif dimainkan pihak tertentu adalah fitnah dan gambaran diputarbelitkan.

“Ramai orang luar tidak mengetahui keadaan sebenar di Kelantan. Sebab itu kita perlu jelaskan kepada mereka bagaimana kehidupan masyarakat bukan-Islam di negeri itu berjalan seperti biasa.

“Kalau mereka masih ragu-ragu, datanglah ke Kelantan dan lihat sendiri. Kita sedia membawa mereka melihat keadaan sebenar,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi DHPP Kelantan berkata, pihak lawan dilihat masih menggunakan naratif menakut-nakutkan masyarakat Cina dan India dengan menjadikan Kelantan sebagai momokan bagi meraih sokongan politik.

Bagaimanapun menurut beliau, pendekatan tersebut semakin kurang berkesan apabila rakyat mula terkesan dengan pelbagai isu semasa yang berlaku di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, maklum balas sepanjang kempen juga menunjukkan semakin ramai pengundi bukan-Islam bersedia menerima kehadiran PN dan mendengar penjelasan yang dibawa.

“Memang ada tempat yang menerima kita dengan baik. Mereka sedia mendengar apa yang hendak kita sampaikan. Kita melihat ada perubahan apabila mereka mula menilai sendiri keadaan semasa dan tidak lagi hanya bergantung kepada persepsi yang dimainkan oleh pihak tertentu,” katanya.

Beliau turut memberitahu, DHPP Kelantan telah turun ke DUN N.11 Lobak bagi membantu calon PN, Kumar S Paramasivam baru-baru ini selepas hari penamaan calon.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya akan turun lagi membantu calon PN ke DUN-DUN lain ditandingi PN khususnya yang mempunyai ramai pengundi bukan-Muslim. – HARAKAHDAILY 21/7/2026

- Advertisement -