
REMBAU: Kamarol Ridzuan Md Zain akur menerima arahan sekali lagi bertanding pada pilihan raya kali ini didorong kesedaran bahawa masih banyak agenda rakyat yang perlu diperjuangkan dan diselesaikan.
Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN N.25 Paroi itu berkata, amanah sebagai calon bukan satu keistimewaan peribadi, sebaliknya tanggungjawab besar perlu digalas bagi memastikan suara penduduk diberi perhatian.
Menurutnya, pengalaman berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi sebelum ini memberi gambaran jelas mengenai keperluan, cabaran dan isu yang dihadapi masyarakat setempat.
“Saya menerima pencalonan ini kerana melihatnya sebagai satu amanah, bukan keistimewaan peribadi. Selepas berkhidmat sebagai ADUN Paroi, saya melihat masih banyak perkara yang perlu diperjuangkan dan diselesaikan untuk masyarakat.
“Keutamaan saya adalah memastikan suara rakyat Paroi terus dibawa dengan bersungguh-sungguh dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), selain memastikan setiap aduan mereka mendapat perhatian sewajarnya,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Beliau berkata, keputusan menerima amanah tersebut turut diperkukuhkan dengan keyakinan terhadap perjuangan PAS dan PN yang membawa prinsip integriti, keadilan, kebajikan serta pentadbiran bertanggungjawab.
Menurutnya, sokongan dan harapan yang dizahirkan masyarakat menjadi kekuatan untuk beliau meneruskan usaha memberikan khidmat terbaik kepada penduduk Paroi.
“Selagi rakyat memerlukan pembelaan dan parti memberikan kepercayaan, saya bersedia memikul tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya,” katanya yang mewakili PAS.
Utama khidmat dan penyelesaian rakyat
Mengulas mengenai keyakinan terhadap PN pada pilihan raya kali ini, Kamarol Ridzuan berkata rakyat memerlukan wakil yang benar-benar memahami denyut nadi mereka serta mampu membawa penyelesaian terhadap isu membelenggu kehidupan seharian.
“Rakyat memerlukan kerajaan dan wakil rakyat yang mengutamakan integriti, kestabilan serta kepentingan rakyat. PN memberi perhatian kepada perkara yang dekat dengan kehidupan masyarakat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan kebajikan,” katanya.
Menurut beliau, kekuatan PAS dan PN turut terletak pada gerak kerja akar umbi yang berterusan melalui pusat khidmat, program kebajikan, pendidikan serta aktiviti kemasyarakatan.

“Kami membawa politik penyelesaian, bukan sekadar politik menyalahkan pihak lain. Rakyat mahu melihat usaha dan tindakan yang mampu memberi perubahan kepada kehidupan mereka,” ujarnya.
Beliau berkata, sistem semak dan imbang yang berkesan juga penting dalam pentadbiran bagi memastikan setiap keputusan kerajaan dapat dinilai serta ditegur secara bertanggungjawab.
“Kami tidak mendakwa semua perkara boleh diselesaikan dalam tempoh singkat, tetapi kami menawarkan kesungguhan untuk bekerja, mendengar dan bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya.
Persepsi perlukan dinilai secara terbuka
Sementara itu, menyentuh mengenai pelbagai persepsi masyarakat terhadap PAS, Kamarol Ridzuan berkata, beliau menghormati hak setiap individu untuk bertanya, menilai dan mempunyai pandangan berbeza terhadap parti tersebut.
Beliau berkata, masyarakat perlu melihat PAS berdasarkan dasar perjuangan, rekod pentadbiran, akhlak pemimpin serta khidmat yang dilaksanakan, bukan hanya berdasarkan gambaran diberikan oleh pihak tidak bersama parti itu.
“Kami mengajak masyarakat melihat PAS berdasarkan tindakan dan sumbangan yang dilakukan, bukan semata-mata berdasarkan persepsi atau gambaran daripada pihak yang tidak bersama PAS,” katanya.
Menurut beliau, PAS memperjuangkan Islam sebagai asas kepada keadilan, amanah, kebajikan, integriti serta penghormatan terhadap maruah manusia.

“Perjuangan PAS bukan hanya untuk menjaga kepentingan orang Islam, tetapi memastikan semua rakyat mendapat layanan yang adil dan dapat hidup dalam keadaan aman serta sejahtera,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa PAS turut disertai golongan profesional daripada pelbagai bidang yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi, sosial, pendidikan, teknologi dan pentadbiran.
“Kami bersedia berdialog, mendengar kebimbangan masyarakat dan menjelaskan pendirian parti secara terbuka. Saya percaya persepsi yang kurang tepat dapat diperbetulkan melalui pertemuan, penerangan serta pengalaman melihat sendiri khidmat yang diberikan,” katanya.
Kamarol Ridzuan turut menyeru masyarakat yang masih ragu-ragu supaya memberi peluang kepada PN membuktikan kemampuan melalui khidmat dan prestasi.
“Rakyat perlu menilai berdasarkan kerja yang dilakukan dan sejauh mana seseorang wakil rakyat mampu membawa perubahan kepada kawasan yang diwakilinya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 21/7/2026











