
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu kini berada pada peringkat akhir pelaksanaan proses pentadbiran tanah terbesar dalam sejarah negeri bagi menyelesaikan isu pemilikan tanah FELDA yang berlarutan sejak sekian lama.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, perkembangan itu susulan penyelesaian terma Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan FELDA yang dimeterai pada penghujung Ramadan lalu.
Menurutnya, berdasarkan persefahaman tersebut, FELDA perlu mengemukakan permohonan di bawah Jadual 1 Kanun Tanah Negara (KTN) bagi membolehkan proses pemberian hak milik rasmi dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
“Kerajaan Negeri memberikan komitmen penuh untuk memproses semua permohonan dikemukakan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Proses pemberian milik tanah ini melibatkan kawasan seluas lebih 16,000 hektar yang dipecahkan kepada lebih 400 lot.
“Ini merupakan tugasan pentadbiran tanah berskala paling besar pernah dikendalikan oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) yang terlibat,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Isu Tanah FELDA di Wisma Darul Iman, di sini.
Azman berkata, enam daerah terbabit dalam pelaksanaan proses tersebut iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Katanya, seluruh jentera kini digerakkan secara menyeluruh bagi memastikan setiap urusan pendaftaran dan pemberian hak milik tanah dapat diselesaikan dengan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
“Komitmen dan kerja keras semua anggota amat dihargai demi memastikan sasaran ini tercapai. Ini adalah bakti serta sumbangan kita bersama buat negeri Terengganu tercinta,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota jawatankuasa task force yang bertungkus-lumus menjayakan proses berkenaan. – HARAKAHDAILY 24/7/2026











