
MARANG: Perbezaan antara konsep ketuanan Melayu yang sering dikaitkan dengan Umno dan ketuanan Islam yang diperjuangkan PAS bukanlah penghalang untuk kedua-dua pendekatan itu disatukan.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Melayu dan Islam mempunyai hubungan sangat rapat sehingga tidak boleh dipisahkan, sekali gus menjadikan penyatuan kedua-dua gagasan itu sesuatu yang mampu direalisasikan.
Menurut beliau, identiti Melayu di negara ini berkait rapat dengan Islam dan perkara itu telah diterima dalam budaya serta sejarah masyarakat tempatan sejak sekian lama.
“Insya-Allah mampu (disatukan). Banyak kali saya sebut, Melayu dengan Islam tidak (boleh) berpisah. Alhamdulillah kita menjadi Melayu dan Islam.
“Dalam masyarakat kita, orang India, Arab atau keturunan lain sekalipun, apabila memeluk Islam, mereka diterima sebagai Melayu. Sebaliknya jika orang Melayu meninggalkan Islam, maka identiti itu sendiri menjadi persoalan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika ditemui pemberita di Rusila selepas Kuliah Duha, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Guru berkata, perbezaan antara perjuangan berteraskan Melayu dan Islam tidak menimbulkan sebarang cabaran besar kerana kedua-duanya mempunyai titik persamaan yang boleh menemukan kesepakatan.
“Tidak menjadi cabaran. Boleh selesai, boleh disatukan,” ulangnya lagi. – HARAKAHDAILY 24/7/2026














