Tanah Kerajaan N9: DAP dikaitkan, MB perlu jawab

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun didesak memberikan penjelasan segera berhubung dokumen berkaitan aduan ‘Pencerobohan Tanah Kerajaan Semakin Berleluasa’ di negeri itu yang kini tersebar di media sosial.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, kewujudan dokumen yang kelihatan seperti surat rasmi kerajaan negeri lengkap dengan nombor rujukan, cop penerimaan, tandatangan dan minit arahan tidak boleh dibiarkan tanpa penjelasan rasmi.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, terdapat dua persoalan utama yang perlu dijawab secara terbuka oleh Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Pertama, adakah dokumen-dokumen yang sedang tersebar tersebut tulen dan benar-benar berasal daripada Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan serta agensi kerajaan yang dinamakan?

“Sekiranya dokumen itu palsu, kerajaan negeri hendaklah menyatakan perkara tersebut dengan tegas dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Kerana penggunaan kepala surat, nombor rujukan, tandatangan, cop jabatan dan nama pegawai kerajaan secara palsu merupakan perkara yang serius,” ujarnya dalam kenyataan.

Ahmad Fadhli menegaskan, sekiranya dokumen berkenaan tulen, kerajaan negeri perlu menjelaskan hasil siasatan yang diarahkan pada Julai 2022.

Menurut beliau, rakyat berhak mengetahui sama ada satu jawatankuasa atau pasukan siasatan telah ditubuhkan, pemeriksaan tapak dilakukan di Kampung Pasir, Kampung Ismail, Rasah, Rahang atau kawasan lain yang disebut serta status pemilikan dan pendudukan tanah berkenaan telah dikenal pasti.

Beliau turut mempersoalkan sama ada terdapat struktur atau penempatan yang dibina tanpa kebenaran, bekalan air dan elektrik diperoleh melalui prosedur sah, serta sama ada mana-mana pegawai kerajaan, ahli majlis, wakil rakyat atau pihak lain dipanggil memberikan keterangan.

“Rakyat juga berhak mengetahui sama ada aduan mengenai wang ‘settlement’ atau unsur rasuah telah dirujuk kepada SPRM, selain tindakan penguatkuasaan, pendakwaan, pengosongan tanah atau pemulihan tanah kerajaan telah dilaksanakan.

“Begitu juga sama ada laporan siasatan yang diarahkan itu telah disiapkan serta dikemukakan kepada Menteri Besar,” desaknya beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Selain itu, Ahmad Fadhli turut mempersoalkan mengenai butiran diperkatakan dalam surat tersebut iaitu mengenai penglibatan wakil rakyat DAP dikatakan terbabit isu berkenaan.

“Benarkah terdapat wakil rakyat DAP didapati terlibat? Jika ya, apakah tindakan yang telah diambil?” soalnya menegaskan jika siasatan mendapati dakwaan tersebut tidak berasas, hasil berkenaan juga wajar diumumkan bagi membersihkan nama individu dan institusi dikaitkan.

Menurutnya, jika terdapat asas kepada mana-mana dakwaan itu, tindakan undang-undang perlu diambil tanpa mengira kedudukan, jawatan atau hubungan politik pihak yang terlibat.

Ahmad Fadhli menegaskan, isu tanah kerajaan bukan perkara kecil atau bahan untuk pertelingkahan politik semata-mata kerana tanah kerajaan dan tanah rizab ialah aset awam yang perlu diurus secara sah, telus dan berintegriti.

“Sebarang pencerobohan boleh menyebabkan kerugian hasil negeri, menjejaskan perancangan pembangunan, mencetuskan pertikaian pemilikan, membebankan agensi penguat kuasa.

“Dan mewujudkan persepsi bahawa undang-undang boleh diketepikan melalui pengaruh tertentu,” ulasnya menyatakan aduan berkenaan seperti tertera pada surat itu telah disalinkan kepada pelbagai pihak.

Antaranya termasuk Datuk Bandar Seremban, pegawai kanan Majlis Bandaraya Seremban, Pegawai Daerah Seremban, SPRM Negeri Sembilan, Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Jika benar, tidak munasabah isu sebesar ini hilang begitu sahaja tanpa penjelasan mengenai hasil tindakan pihak berkuasa,” persoalnya.

Ahmad Fadhli menekankan, kerajaan negeri tidak seharusnya berdiam diri atau sekadar menyifatkan penyebaran dokumen tersebut sebagai permainan politik.

“Cara terbaik untuk menghentikan spekulasi ialah melalui pengesahan dokumen dan penerbitan hasil siasatan, tertakluk kepada keperluan undang-undang serta perlindungan terhadap siasatan yang masih berjalan,” gesanya.

Beliau menegaskan Menteri Besar Negeri Sembilan perlu memberikan penjelasan yang jelas, lengkap dan bertanggungjawab kepada rakyat.

“Rakyat Negeri Sembilan menuntut supaya dokumen itu disahkan, arahan siasatan dijelaskan dan hasilnya diumumkan.

“Ketelusan dalam perkara ini penting untuk mempertahankan integriti pentadbiran negeri, melindungi aset kerajaan dan memastikan tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang.

“Isu yang melibatkan tanah kerajaan, kemungkinan salah guna kuasa dan kepentingan rakyat Negeri Sembilan wajib ditangani secara serius, bukan disapu ke bawah permaidani,” tegasnya.

Dokumen yang dikatakan berkaitan aduan ‘Pencerobohan Tanah Kerajaan Semakin Berleluasa’ itu tersebar melalui media sosial, khususnya Facebook, dan menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.

Antara dokumen yang tersebar ialah surat bertarikh 18 Julai 2022 menggunakan kepala surat Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus bernombor rujukan SUKNS.600-7 Jld. 12(13) yang ditujukan kepada Pegawai Daerah Seremban.

Surat berkenaan turut dikatakan memanjangkan satu aduan mengenai pencerobohan tanah kerajaan untuk perhatian dan tindakan lanjut, selain turut memaparkan minit tulisan tangan yang mengarahkan supaya satu siasatan diketuai dan laporan disediakan dalam tempoh sebulan.

Aduan asal yang dilampirkan pula mengandungi kenyataan berkaitan pencerobohan tanah kerajaan dan tanah rizab, penyalahgunaan pengaruh politik dan campur tangan pihak tertentu.

Juga permintaan wang ‘settlement’, pemberian bekalan utiliti kepada kawasan yang dikatakan diceroboh serta kemungkinan unsur rasuah dan salah guna kuasa. – HARAKAHDAILY 24/7/2026

- Advertisement -