
KOTA BHARU: Kelantan muncul sebagai pengeluar manganese ketujuh terbesar dunia apabila menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang mengeluarkan mineral berkenaan sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain penting dalam industri mineral global.
Pencapaian itu diumumkan susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kelstone Sdn Bhd dan AML Holdings LLC yang dijangka membuka lembaran baharu kepada pembangunan industri mineral negeri melalui kerjasama strategik dengan syarikat dari Jepun.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kedudukan tersebut berdasarkan maklumat yikongsikan Naib Pengerusi merangkap Ahli Lembaga Pengarah AML Holdings LLC, Yuki Nakamura bahawa Malaysia kini merupakan pengeluar manganese ketujuh terbesar dunia.
“Memandangkan hanya Kelantan mengeluarkan manganese di negara ini, secara tidak langsung Kelantan berada pada kedudukan sebagai pengeluar manganese ketujuh terbesar dunia,” katanya.
Beliau terdahulu menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kelstone Sdn Bhd dan AML Holdings LLC di Pejabat Timbalan Menteri Besar di Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.
Beliau berkata, pemeteraian memorandum persefahaman itu menjadi langkah strategik bagi memperkukuh pembangunan industri mineral Kelantan melalui kerjasama dengan syarikat dari Jepun yang mempunyai kepakaran dalam sektor berkenaan.
“Kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang pelaburan, mempercepatkan pemindahan teknologi serta memperkukuh pembangunan rantaian nilai industri mineral khususnya manganese.
“Ia sekali gus mampu meningkatkan daya saing Kelantan dalam pasaran mineral global,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan.
Beliau turut berharap Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dan penyelaras bagi memastikan potensi industri mineral Kelantan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Tambahnya, sokongan berterusan daripada ECERDC penting dalam membantu merancakkan pembangunan industri mineral yang berpotensi menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Potensi besar yang dimiliki industri mineral ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya supaya mampu memberi limpahan ekonomi kepada rakyat dan negeri,” katanya.
Majlis itu menyaksikan memorandum persefahaman ditandatangani antara Kelstone Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat PKINK dengan AML Holdings LLC bagi memperkukuh kerjasama pembangunan industri mineral di Kelantan.
Turut hadir Ketua Eksekutif PKINK, Dato’ Zamri Ismail, ADUN Kadok, Dato’ Azami Mohd Nor dan ADUN Mengkebang, Zubir Abu Bakar. – HARAKAHDAILY 22/7/2026











