Bangga kejayaan anak Terengganu di pentas dunia

SK Manir mengharumkan nama Malaysia menerusi Active Lifestyles Outstanding Award dalam pertandingan AIA Healthiest Schools di Bangkok, Thailand.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan rasa bangga terhadap deretan kejayaan yang dilakar anak-anak Terengganu di peringkat antarabangsa sehingga berjaya mengharumkan nama negeri dan negara.

Beliau berkata, pelbagai pencapaian membanggakan direkodkan dalam bidang sukan, pendidikan dan inovasi sepanjang tahun ini, sekali gus membuktikan kemampuan anak Terengganu untuk bersaing dengan peserta terbaik dunia.

- Advertisement -

Antara kejayaan mendapat perhatian ialah pelumba muda sensasi negara, Qabil Irfan yang muncul juara Moto4 European Cup, selain dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai, Adam Akymie dan Shid Aryan Rizqi yang kini mewakili Malaysia dalam kejohanan Donosti Cup di San Sebastian, Sepanyol.

“Turut membanggakan ialah kejayaan Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal bersama pasangan regunya, Low Zi Yu yang menjuarai Kejohanan Badminton Remaja Asia 2026, sekali gus menamatkan penantian Malaysia selama 19 tahun untuk kembali meraih gelaran beregu campuran.

“Dalam bidang pendidikan pula, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) Besut mencipta sejarah apabila meraih 26 pingat dan enam Anugerah Khas dalam pertandingan inovasi antarabangsa Borneo International Innovation Creativity Competition (BIICC) 2026 dianjurkan Malaysia Young Scientist Organization (MYSO).

“Ini membuktikan bahawa institusi pendidikan Islam negeri mampu melahirkan generasi yang cemerlang dalam penyelidikan, inovasi dan teknologi,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, SK Manir turut mengharumkan nama Malaysia menerusi Active Lifestyles Outstanding Award dalam pertandingan AIA Healthiest Schools di Bangkok, Thailand.

Ahmad Samsuri turut mengucapkan tahniah kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Intan Zaharah, Dungun, Danish Zikry Shaiful Bakhtiar yang muncul juara kategori lelaki bawah 15 tahun dalam Kejohanan China Squash Junior Open 2026 di Shandong, China.

Katanya, kejayaan demi kejayaan yang diraih itu membuktikan bakat besar yang dimiliki anak-anak Terengganu apabila diberikan ruang untuk berkembang dan menyerlahkan potensi masing-masing.

“Kejayaan-kejayaan ini bukan berlaku secara kebetulan. Ia lahir daripada usaha yang berterusan, sokongan ibu bapa, dedikasi para guru dan jurulatih, dasar pembangunan pendidikan serta sukan yang konsisten dan yang paling utama, izin Allah SWT.

“Semoga lebih ramai anak-anak Terengganu terus melangkah jauh, membawa nama negeri dan Malaysia dengan penuh integriti, kecemerlangan serta jati diri. Terengganu sentiasa berbangga dengan setiap kejayaan kalian,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2026

- Advertisement -