PEMADAM sokong penuh perang dadah di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kelantan menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan memperhebat tindakan membanteras penyalahgunaan serta pengedaran dadah di negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusinya, Zamakhshari Muhammad berkata, statistik Januari hingga Jun 2026 menunjukkan kes narkotik di Kelantan menurun sebanyak 13 peratus, manakala tangkapan berkaitan narkotik turut berkurangan 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, perkembangan itu membuktikan usaha bersungguh-sungguh yang digerakkan PDRM Kelantan mula membuahkan hasil dalam memerangi ancaman dadah.

“PEMADAM Kelantan menyatakan sokongan penuh terhadap langkah proaktif PDRM Kontinjen Kelantan yang menetapkan sasaran kepada setiap Ketua Balai Polis bagi mempergiat tindakan membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

“Inisiatif ini membuktikan komitmen tinggi PDRM dalam memerangi ancaman dadah yang merupakan musuh utama masyarakat,” ujarnya kepada Harakahdaily hari ini.

Zamakhshari berkata, pendekatan lebih tersusun, berfokus serta berasaskan tanggungjawab di setiap peringkat diyakini mampu meningkatkan keberkesanan operasi dan memutuskan rantaian pengedaran dadah.

“Pada masa sama, nilai rampasan dadah meningkat kepada RM15.6 juta, sekali gus membuktikan tindakan penguatkuasaan semakin berkesan dalam menyasarkan rangkaian pengedaran dan sindiket dadah.

“Pencapaian ini wajar diberikan pengiktirafan dan menjadi pemangkin untuk memperhebatkan lagi usaha membanteras dadah di negeri ini,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri.

Semalam, Ketua Polis Kelantan, Dato’ Mohd Yusoff Mamat memaklumkan kes narkotik di negeri itu menurun sebanyak 13 peratus kepada 12,051 kes bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Beliau mendedahkan, jumlah tangkapan turut merekodkan penurunan 10 peratus iaitu 13,182 tangkapan berbanding 14,640 tangkapan bagi tempoh sama tahun lalu.

Mengulas lanjut, Zamakhshari berkata, PEMADAM Kelantan bersedia berganding bahu bersama PDRM dalam menjayakan jihad memerangi dadah kerana usaha tersebut bukan hanya menjadi tanggungjawab pasukan keselamatan semata mata.

“Usaha ini memerlukan penglibatan menyeluruh daripada agensi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin masyarakat, ibu bapa dan seluruh lapisan rakyat.

“PEMADAM komited memperkasakan program pencegahan melalui pendidikan, advokasi, kempen kesedaran masyarakat, pembangunan belia serta pengukuhan institusi keluarga bagi menyelamatkan lebih ramai anak muda daripada terjebak dengan gejala dadah,” katanya lagi.

Menurut beliau, PEMADAM juga bersedia menjadi rakan strategik kepada PDRM dalam memperluaskan kempen kesedaran di peringkat akar umbi melibatkan komuniti, sekolah, institusi pengajian tinggi dan golongan belia.

Tambahnya, seluruh rakyat Kelantan diseru memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dengan menyalurkan maklumat, tidak melindungi penjenayah dadah serta bersama-sama membina benteng sosial yang kukuh demi memastikan negeri itu bebas daripada ancaman dadah.

“Jihad memerangi dadah merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kesatuan hati, keazaman dan tindakan bersepadu antara PDRM, PEMADAM, Agensi Antidadah Kebangsaan, agensi kerajaan, NGO dan seluruh masyarakat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/7/2026

- Advertisement -