‘Selalunya YB yang bawa calon, tapi ni calon bawa YB’

Jentera PN dan BN bersama kempen untuk Dr Rafie

- Advertisement -

SEREMBAN: Kerjasama antara PAS dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 disifatkan memberi semangat baharu kepada jentera yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Ampangan.

- Advertisement -

Setiausaha Lajnah Pengurusan Organisasi (LPO) PAS Kawasan Bangi, Mohd Norjuahari Nazar, 48, berkata, perkara itu mula dirasai ketika hari penamaan calon apabila kedua-dua pihak yang sebelum ini bergerak secara berasingan mula bergabung selepas itu.

Beliau berkata, suasana menjadi lebih meriah apabila Jentera PAS dan BN bersama-sama menyambut pengumuman calon PERIKATAN NASIONAL (PN) di kawasan berkenaan.

“Antara benda yang menarik bila kita ada muafakat, mula-mula kita duduk berasingan. Waktu bergerak hantar calon, (jentera) PN bawa (calon) PN, (jentera) BN duduk (sama-sama berarak bersama calon) BN.

“Tapi selepas masuk calon itu, kami (PN dan BN) berkumpul sekali bersama-sama menyambut pengumuman calon itu. Jadi waktu itu meriah, bila semua biru (warna BN-PN) lawan merah (warna PH) duduk sebelah-sebelah,” imbasnya.

Mohd Norajuahari berkata demikian kepada HarakahDaily di UDM Gedong Lalang 162, Ampangan, di sini hari ini.

Beliau menyatakan, keadaan itu memperlihatkan semangat muafakat mula terbentuk dan menjadi sesuatu yang istimewa sepanjang proses pilihan raya kali ini.

Menurutnya, calon PN yang diketengahkan di DUN Ampangan, Dato’ Dr Mohamad Rafie Ab Malek juga mempunyai pengalaman dan sudah bersedia untuk terus bergerak tanpa memerlukan tempoh penyesuaian.

“Selepas penamaan calon, calon yang dibawa untuk Ampangan ini ialah calon yang berpengalaman. Bila calon berpengalaman ini, dia dah sedia untuk terus bergerak.

“Untuk kami lebih mudah. Kalau sebelum ini hari pertama kita akan (latih dan beri penerangan kepada) calon, ini dia dah bersedia, dia dah ada pasukan,” ceritanya.

Beliau menyatakan, pengalaman calon berkenaan turut dapat dilihat ketika turun ke lapangan apabila masyarakat mengenali dan menerima kehadirannya dengan baik.

“Bila kita gerak tu, kalau macam Ustaz (Ahmad) Fadhli (Shaari) sebut hari tu waktu kita melawat pasar tani tu, ‘ni calon bawa dia, selalunya YB bawa calon, ni calon bawa dia melawat sebab orang semua dah kenal’.

“Orang dah kenal terima dengan baik. ‘Track record’ calon ni pun bagus. Kami anggap, pada saya ‘personally’ rasa macam ‘winnable candidate’ lah, ‘candidate’ yang boleh menang.

“Jadi orang yang datang (jentera kempen) ni pun semangatlah untuk dia (Dr Rafie). Dia lain aura dia bila kita rasa kita datang ni untuk menjadi kerajaan, dengan kita datang untuk hanya berjuang atas Islamlah. Ini dua-dua kita rasa kita nak dapat,” jelasnya

Mengulas kepentingan pengundi keluar mengundi pada PRN kali ini, Mohd Norajuahari menegaskan, ia penting bagi menunjukkan sokongan terhadap usaha penyatuan ummah melalui kerjasama yang terjalin.

“Kenapa penting (untuk pengundi keluar mengundi)? Sebenarnya kita nak pastikan bahawa kita tunjukkan kepada masyarakat luar, khasnya bukan sahaja Negeri Sembilan, bahawa muafakat ini memang benda yang membantu penyatuan ummah.

“PAS memang nak penyatuan ummah itu. Kita nak buang masalah-masalah yang besar (dibuat oleh kerajaan PH),” serunya.

Sementara itu, Mohd Norajuahari memaklumkan, sepanjang turun berkempen, kebanyakan pengundi sudah mengenali calon PN di DUN Ampangan.

“Saya nampak dia (Dr Rafie) bertanya (masyarakat) bukan setakat orang yang dia jumpa, dia siap boleh tanya pasal ahli keluarga yang berada di luar (yang tidak berada di situ),” ulas beliau menunjukkan keterujaan.

Beliau mengimbas, ada pengundi berinteraksi dengan calon berkenaan seolah-olah beliau sudah menjadi wakil rakyat kerana melihat cara kerja dan pendekatan yang ditunjukkan.

“Ada yang datang kepada dia (Dr Rafie) bercakap dengan dia seolah-olah dia itu dah YB dah. Dia bercerita isu, lepas itu dia tengok rekod, dia ada pegawai datang rekod maklumat itu. Menunjukkan bahawa itu cara orang yang dah berpengalaman,” ulasnya lagi.

Beliau turut menyifatkan penerimaan pengundi terhadap calon berkenaan sebagai sangat positif, terutama apabila jentera BN turut bersama turun ke lapangan.

“Saya rasa nampak sangat positif. Bila kita muafakat itu, bila kita pergi ke lapangan, orang BN datang sekali.

“Calon itu diterima oleh dua-dua pihak (BN dan PN). Jadi itu yang kita kata sangat boleh menang. Ke depan ini nampak sangat positif dan sangat bersedia,” maklumnya.

Mengenai isu dibangkitkan pengundi sepanjang kempen, Mohd Norajuahari memaklumkan, sebahagian besar berkaitan perkara yang pernah diusahakan calon sebelum ini, tetapi terhenti selepas calon berkenaan tidak lagi memegang jawatan.

“Lebih kepada seolah-olah benda dulu calon ini dah buat kerja, sampai bila calon ini berhenti kerja, tak jalan dah. Benda yang mereka harapkan berlaku itu tidak berlaku dah.

“Jadi mereka memang mengharapkan calon ini datang (untuk mengambil kembali kerusi DUN Ampangan). Benda-benda yang dia dah cuba bangunkan berkaitan dengan pasar dan sebagainya akan (disambung) dibuat,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2026

- Advertisement -