Selangor banjir lagi, aset rakyat rosak teruk perlu dibantu

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku perlu ditangani dengan tindakan segera menerusi bantuan sementara kepada mangsa, bukan hanya bergantung kepada pelaksanaan projek tebatan banjir jangka panjang yang mengambil masa bertahun-tahun.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, banjir kilat semalam bukan lagi sekadar bencana bermusim, sebaliknya telah berubah menjadi beban kewangan berulang yang menjejaskan kehidupan ramai rakyat negeri itu.

Beliau berkata, setiap kali hujan lebat berlaku, pemilik kenderaan antara golongan paling terkesan apabila terpaksa menanggung kos pembaikan yang tinggi akibat kerosakan ditenggelami air.

“Ramai pemilik kenderaan terpaksa mengeluarkan ribuan ringgit untuk membaiki kereta yang rosak akibat ditenggelami air. Tidak kurang juga yang kehilangan sumber pendapatan kerana gagal hadir bekerja apabila kenderaan tidak lagi boleh digunakan.

“Lebih menyedihkan, ramai masih perlu meneruskan bayaran ansuran bulanan walaupun kereta mereka telah rosak teruk dan tidak boleh dipandu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila banjir kilat di Selangor kini berlaku dengan lebih kerap dan melibatkan kawasan yang semakin meluas.

Katanya, beberapa kawasan termasuk Klang, Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Puchong, Kajang, Hulu Langat, Ampang dan Sungai Buloh sering menjadi lokasi yang terjejas setiap kali hujan lebat dalam tempoh singkat.

“Situasi ini membuktikan banjir kilat bukan lagi kejadian luar biasa, tetapi satu realiti yang semakin membebankan kehidupan rakyat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras.

Justeru, PAS Selangor berpandangan Kerajaan Negeri perlu tampil dengan langkah segera (temporary measures) bagi mengurangkan tekanan yang ditanggung rakyat sementara menunggu penyelesaian menyeluruh dilaksanakan.

Dr Ab Halim berkata, rakyat ketika ini masih belum melihat bentuk bantuan sementara benar-benar mampu membantu mereka menghadapi kesan banjir yang berlaku berulang kali.

Menurut beliau, walaupun projek tebatan banjir merupakan langkah penting dalam menangani masalah tersebut, tempoh pelaksanaan yang panjang menyebabkan rakyat terus terdedah kepada risiko kerugian setiap kali hujan lebat.

“Projek tebatan banjir sememangnya penting, tetapi pelaksanaannya mengambil masa bertahun-tahun. Dalam tempoh menunggu itu, apakah bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada rakyat yang berdepan musibah berulang kali?” katanya.

Beliau berkata, isu tersebut perlu diberi perhatian lebih serius kerana ia berlaku ketika rakyat sedang berdepan peningkatan kos sara hidup.

Katanya, sebahagian rakyat bukan sahaja perlu memikirkan kos harian, malah terpaksa mencari sumber kewangan tambahan untuk membaiki kerosakan akibat banjir yang berlaku berkali-kali.

“Ada yang sukar membayar bil utiliti dan komitmen bulanan, apatah lagi untuk mendapatkan perlindungan insurans banjir bagi rumah atau kenderaan,” ujarnya.

Menurut beliau, kajian terhadap mangsa banjir kilat di Lembah Klang menunjukkan kos premium merupakan antara faktor utama yang menyebabkan ramai tidak mengambil perlindungan insurans banjir walaupun mereka menyedari risiko bakal dihadapi.

Sehubungan itu, PAS Selangor mencadangkan beberapa langkah sementara yang boleh dipertimbangkan Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat terjejas.

Antara cadangan tersebut ialah menyediakan bantuan khas pembaikan kenderaan kepada mangsa banjir, mewujudkan skim pinjaman tanpa faedah bagi membaiki rumah dan kenderaan yang rosak, memberikan subsidi atau bantuan premium insurans banjir.

Iaitu jelasnya, kepada golongan B40 dan M40 yang menetap di kawasan berisiko serta memperhebat kerja penyelenggaraan longkang, saliran dan pemasangan pam bergerak di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas banjir.

Dr Ab Halim berkata, rakyat tidak meminta penyelesaian segera terhadap keseluruhan masalah banjir dalam tempoh singkat, namun mereka mahu melihat kehadiran kerajaan ketika berdepan musibah.

“Rakyat hanya mahu melihat kerajaan hadir bersama mereka ketika musibah berlaku, dengan tindakan yang cepat, praktikal dan benar-benar dapat meringankan beban kehidupan.

“Penyelesaian jangka panjang mesti diteruskan, namun bantuan sementara kepada mangsa banjir juga tidak boleh ditangguhkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2026

- Advertisement -