
SEREMBAN: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan MIC menunjukkan semangat kerjasama apabila berpadu untuk membantu kempen calon PERIKATAN NASIONAL (PN) di DUN N.11 Lobak, P Kumar Paramasivam.
Jalinan itu termeterai dari pertemuan antara Ketua Penerangan DHPP, Dr Balachandran Gopal Krishnan bersama Setiausaha MIC Bahagian Seremban, Thanabalan Ramiah serta mantan calon DUN Lobak, Balamurugan Sanmugam.
Mereka bersetuju melaksanakan gerak kerja kempen dengan menggembleng jentera parti serta pimpinan bagi menyelaras strategi dan memastikan setiap perancangan dilaksanakan secara lebih tersusun serta berkesan.
Kekuatan yang disatukan itu sebagai melancarkan lagi pendekatan turun padang serta memastikan mesej perjuangan dapat disampaikan dengan lebih jelas kepada pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 ini.
Pada perbincangan yang juga disertai Kumar itu, mereka turut berkongsi pandangan dan pengalaman bagi memperkukuhkan strategi kempen serta memperluaskan pendekatan mendekati masyarakat setempat.

Dr Balachandran berkata, penyelarasan secara berterusan amat penting bagi memastikan seluruh jentera pilihan raya bergerak seiring dalam memenuhi aspirasi serta keperluan masyarakat setempat.
“Perancangan yang baik sentiasa melalui proses penambahbaikan berterusan. Dengan semangat kerja berpasukan dan koordinasi yang mantap, kita terus melangkah ke hadapan demi memberikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Menurut beliau, perbincangan yang berlangsung dalam suasana terbuka dan penuh muafakat itu membuktikan kerjasama merentas latar belakang mampu diperkukuhkan apabila kepentingan rakyat dijadikan keutamaan.
“Apabila kepentingan masyarakat diutamakan, perbezaan boleh diketepikan dan kekuatan dapat digembleng bersama demi masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Thanabalan dan Balamurugan atas komitmen serta kesediaan mereka berkongsi pandangan dalam usaha memperkemaskan gerak kerja PERIKATAN NASIONAL DUN Lobak.
“Semoga semangat kebersamaan ini terus menjadi pemangkin kepada gerak kerja yang lebih tersusun dan berkesan,” katanya yang juga Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu.
Beliau berharap semangat kerjasama yang dipamerkan menerusi program tersebut akan terus diperkukuhkan sebagai asas membina jaringan yang lebih mantap dalam memperjuangkan kebajikan rakyat di DUN N.11 Lobak. – HARAKAHDAILY 22/7/2026











