
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 disifatkan sebagai satu usaha penting untuk memperkukuh rangka kerja perundangan berkaitan keselamatan jalan raya, namun beberapa aspek utama perlu diperhalusi sebelum ia dikuatkuasakan sepenuhnya.
Senator Che Alias Hamid mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan yang melibatkan perlindungan mangsa kemalangan, pengawalseliaan mikromobiliti dan pelaksanaan pendigitalan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Pindaan itu perlu mengambil kira kepentingan semua pihak, khususnya golongan yang berdepan risiko tinggi akibat kelemahan pelaksanaan dasar dan jurang kemudahan infrastruktur,” ujar beliau ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Negara, semalam.
Pinda undang-undang pemandu mabuk
Che Alias berkata, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada pindaan undang-undang berkaitan kesalahan pemanduan di bawah pengaruh alkohol di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi memperkukuh perlindungan terhadap waris mangsa.
“Hukuman penjara atau denda yang dikenakan terhadap pesalah semata-mata tidak mampu menyelesaikan kesan kewangan yang ditanggung keluarga mangsa yang kehilangan pencari nafkah akibat kemalangan disebabkan pemandu mabuk,” tegas beliau.
Sehubungan itu, Che Alias menggesa kerajaan mengintegrasikan konsep diyat dalam Islam melalui perintah pampasan atau ganti rugi kewangan secara mandatori oleh mahkamah kepada keluarga mangsa yang terjejas.
“Saya mencadangkan supaya sebahagian hasil kutipan denda trafik disalurkan ke dalam tabung khas bagi membantu kebajikan mangsa kemalangan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyokong penguatkuasaan lebih tegas terhadap pesalah yang menyebabkan kematian, termasuk pembatalan lesen memandu seumur hidup serta sitaan mandatori kenderaan di bawah Seksyen 35 dan Seksyen 45.
Beliau juga berharap kerajaan mengetatkan dasar penjualan minuman beralkohol di premis-premis yang beroperasi 24 jam bagi mengurangkan risiko kemalangan melibatkan pemandu mabuk.
Ekosistem mikromobiliti perlu diperkukuh
Menyentuh Fasal 31 dan Fasal 40 yang meminda Seksyen 112 dan Seksyen 127 berkaitan kuasa menyita dan melupuskan kenderaan mikromobiliti, Che Alias berpandangan pendekatan dicadangkan terlalu tertumpu kepada aspek penguatkuasaan tanpa disokong penyediaan ekosistem yang selamat.
“Ramai rakyat menggunakan skuter elektrik sebagai pengangkutan ke stesen pengangkutan awam atau tempat kerja, namun kebanyakan bandar di negara ini masih belum mempunyai lorong mikromobiliti yang selamat.
“Keadaan itu menyebabkan pengguna terpaksa berkongsi laluan dengan kenderaan berat atau menggunakan kaki lima sehingga membahayakan semua pihak,” jelas beliau.
Katanya, tindakan melupuskan kenderaan yang tidak dituntut dalam tempoh sebulan merupakan hukuman terlalu berat, khususnya terhadap golongan B40 dan pekerja ekonomi gig.
Beliau turut membandingkan pendekatan Singapura yang melaksanakan kawal selia seiring pelaburan dalam pembinaan rangkaian laluan khas, sedangkan kebanyakan lorong basikal di negara ini hanya berupa garisan cat tanpa perlindungan fizikal.
Bagi menambah baik pelaksanaan tersebut, beliau mengemukakan tiga cadangan utama iaitu menyediakan dana khas kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membina lorong mikromobiliti yang mempunyai penghadang fizikal.
Juga mewujudkan mekanisme amaran digital serta kompaun secara berperingkat sebelum pelupusan kenderaan, dan mewajibkan semua syarikat sewaan mikromobiliti memasang sistem kawalan had laju automatik di kawasan berisiko tinggi.
Jurang digital tidak boleh dipandang ringan
Che Alias turut membangkitkan kebimbangan terhadap pindaan Seksyen 20 dan Seksyen 118 yang melibatkan penghapusan dokumen fizikal serta pelaksanaan penyampaian notis secara elektronik.
Beliau berkata, hasrat kerajaan untuk menggantikan lesen fizikal dengan maklumat elektronik dan menganggap notis saman atau kompaun telah disampaikan sebaik sahaja dimasukkan ke dalam sistem penerimaan perlu diteliti dengan lebih mendalam.
Menurut beliau, pelaksanaan itu berisiko menafikan hak rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih berdepan masalah capaian internet, termasuk di Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman Semenanjung.
Beliau mempersoalkan nasib pekebun kecil, komuniti Orang Asli dan warga emas yang tidak mempunyai akses kepada rangkaian 4G dan 5G stabil, selain membangkitkan isu gangguan teknikal sering berlaku pada aplikasi digital agensi kerajaan ketika trafik pengguna meningkat.
“Sekiranya notis dianggap telah disampaikan secara automatik sedangkan penerima gagal mengakses sistem akibat masalah teknikal atau ketiadaan internet, mereka mungkin terlepas tempoh pembayaran kompaun dan berdepan tindakan mahkamah tanpa menyedarinya,” jelas beliau.
Che Alias menyifatkan keadaan itu sebagai satu bentuk diskriminasi perundangan yang boleh menafikan hak masyarakat luar bandar.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kementerian Pengangkutan menetapkan prasyarat supaya infrastruktur telekomunikasi dan liputan internet di seluruh negara diperkukuh terlebih dahulu sebelum sistem digital dilaksanakan secara menyeluruh.
Menurutnya, usaha tersebut perlu melibatkan kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan, Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi bagi memastikan tiada kawasan yang tercicir daripada kemudahan internet.
Sebagai langkah sementara, beliau turut mengesyorkan pelaksanaan sistem kembar bagi kawasan luar bandar dengan mengekalkan pilihan penghantaran notis fizikal melalui surat berdaftar sehingga masalah capaian internet dapat diselesaikan.
“Pendigitalan seharusnya memudahkan urusan rakyat dan bukannya menjadi perangkap perundangan yang menghukum golongan marhaen yang masih terpinggir daripada arus kemajuan teknologi akibat kekangan capaian internet,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2026











