Lumba haram, tonto dan pemandu mabuk tak selesai?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kadar kematian akibat kemalangan jalan raya yang masih tinggi menunjukkan masih terdapat kelemahan dalam sistem keselamatan jalan raya dan penguatkuasaan negara meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi mengurangkan jumlah korban.

Senator Hussin Ismail berkata, kemalangan jalan raya merupakan penyebab kematian keempat tertinggi di Malaysia selepas penyakit jantung, radang paru-paru dan diabetes.

- Advertisement -

“Sebanyak 4,539 kematian direkodkan pada 2021, meningkat kepada 6,537 kes pada 2022, diikuti 6,300 kes pada 2023, 6,464 kes pada 2024 dan 6,080 kes pada penghujung 2025.

“Trend tersebut menunjukkan negara masih jauh daripada mencapai sasaran Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia yang mensasarkan pengurangan sebanyak 50 peratus kadar kematian menjelang 2030,” ujarnya.

Beliau ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Dewan Negara, semalam.

Kaji semula pendekatan had laju

Hussin turut membangkitkan persoalan mengenai had laju maksimum 110 kilometer sejam di lebuh raya yang disifatkannya tidak seiring dengan keupayaan teknologi kenderaan moden dan kualiti jalan raya negara.

Beliau berkata, motosikal berkuasa tinggi dan pelbagai model kereta mampu mencapai kelajuan jauh melebihi had yang dibenarkan, namun undang-undang menetapkan had sama kepada semua pengguna jalan raya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menilai semula pendekatan sedia ada supaya dasar berkaitan had laju dapat disesuaikan dengan perkembangan teknologi dan keadaan semasa tanpa menjejaskan aspek keselamatan.

‘Penyokong’ lumba haram

Menyentuh isu lumba haram, beliau berpandangan penguatkuasaan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pelumba semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi semua pihak yang menjadi penyumbang kepada kegiatan tersebut.

Beliau berkongsi pengalaman mengenai pendekatan pihak polis di sebuah negeri yang menggunakan alat menembak cat khas kepada motosikal suspek sebelum mengesannya kemudian bagi mengurangkan risiko kemalangan ketika mengejar pelumba haram.

Menurutnya, undang-undang juga perlu mengambil tindakan terhadap bengkel melakukan pengubahsuaian motosikal, pihak berkuasa tempatan yang meluluskan lesen premis berkaitan serta pihak lain selaku pemudah cara kepada kegiatan lumba haram.

Beliau turut mendedahkan bahawa kegiatan itu sering dikaitkan dengan perjudian dan pelbagai aktiviti tidak sihat yang melibatkan golongan muda.

Lorong motosikal penghantar makanan

Hussin turut mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula penyediaan lorong motosikal di kawasan bandar bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Beliau berkata, peningkatan jumlah penunggang penghantar makanan dan barangan yang mengejar tempoh penghantaran menyebabkan ada dalam kalangan mereka mengabaikan peraturan lalu lintas sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, aspek pengurusan lalu lintas di kawasan bandar perlu diberi perhatian bagi mengurangkan risiko kemalangan membabitkan penunggang motosikal.

Bendung budaya tonto

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu kewujudan tonto yang menurutnya masih sukar dibanteras walaupun sering diperkatakan.

“Terdapat pihak tertentu yang mengetahui lebih awal mengenai operasi penguatkuasaan sehingga mampu mengelakkan tindakan pihak berkuasa,’ jelas beliau.

Beliau turut membangkitkan dakwaan mengenai kewujudan premis berhampiran pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyewakan tayar baharu kepada kenderaan untuk menjalani pemeriksaan sebelum tayar lama dipasang semula selepas pemeriksaan selesai.

Menurutnya, perkara sedemikian dikhuatiri menjadi amalan biasa sekiranya tidak dibendung secara serius dan menyeluruh.

Tangani pemandu mabuk

Beliau turut menggesa kerajaan membina ekosistem yang lebih lengkap bagi menangani pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, walaupun pelbagai langkah diambil bagi membendung penyalahgunaan dadah, isu pemandu mabuk masih terus menyebabkan kemalangan maut yang meragut banyak nyawa.

Beliau berpandangan semua faktor yang menjadi penyebab kepada kemalangan jalan raya perlu ditangani secara menyeluruh dan bukan hanya bergantung kepada hukuman semata-mata.

Pendidikan pengguna jalan raya

“Usaha memperkasakan pendidikan keselamatan dan kepenggunaan jalan raya wajar dijadikan agenda utama kerana kos pendidikan adalah jauh lebih rendah berbanding kerugian akibat kemalangan dan kesalahan lalu lintas,’ ujar Hussin.

Beliau turut berkongsi pengalaman di Laos yang menurutnya berjaya memastikan pengguna mematuhi had laju 50 kilometer sejam di kawasan bandar hasil pendidikan dan pembudayaan disiplin jalan raya dalam tempoh yang panjang.

Selain itu, beliau menyentuh mengenai beban kewangan yang ditanggung pengguna jalan raya akibat saman dan denda hanya disedari ketika ingin memperbaharui lesen memandu atau dokumen berkaitan.

“Kerajaan perlu memberi penekanan kepada pembentukan adab, akhlak dan sikap berhemah dalam kalangan pengguna jalan raya kerana pendekatan pendidikan diyakini mampu melahirkan masyarakat yang lebih berdisiplin serta mengurangkan kadar kemalangan dalam jangka panjang,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2026

- Advertisement -