
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 disifatkan sebagai langkah yang baik untuk memperkukuh keselamatan jalan raya, memodenkan sistem penyampaian serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
Ahli Dewan Negara, Senator Ustaz Musoddak Ahmad bagaimanapun mengingatkan bahawa beberapa peruntukan baharu perlu diperjelaskan bagi memastikan pelaksanaannya adil dan tidak membebankan rakyat.
Beliau berkata, setiap hukuman dan kuasa baharu yang diperkenalkan perlu dilaksanakan secara jelas, adil serta tidak bergantung kepada tafsiran individu sehingga boleh menimbulkan ketidakadilan.
Perjelas takrif ‘dugaan kelajuan’
Mengulas Fasal 15 yang memperkenalkan Seksyen 42A berkaitan kesalahan berlumba atau melakukan dugaan kelajuan di jalan raya, beliau menyatakan sokongan terhadap tindakan tegas kerajaan.
Di mana untuk kesalahan itu memperuntukkan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau RM5,000 hingga RM20,000 serta hukuman penjara sehingga lima tahun mengikut jenis kesalahan.
Menurutnya, jalan raya awam bukanlah litar perlumbaan dan kegiatan lumba haram bukan sahaja membahayakan pelumba, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Bagaimanapun, beliau meminta Menteri menjelaskan takrif serta skop istilah ‘dugaan kelajuan’, sama ada ia hanya melibatkan aktiviti dirancang atau turut merangkumi tindakan spontan seperti dua atau tiga kenderaan memecut serentak sebaik lampu isyarat bertukar hijau.
Beliau menegaskan bahawa elemen niat dan bentuk perlakuan yang dikategorikan sebagai dugaan kelajuan perlu diperjelaskan supaya penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara konsisten dan tidak bergantung kepada tafsiran individu.
Dalam masa sama, beliau berpandangan bahawa hukuman semata-mata tidak memadai untuk membendung lumba haram, sebaliknya, tindakan turut perlu dikenakan terhadap penganjur perlumbaan.
Juga gesanya, ke atas pihak yang menutup jalan, bengkel yang melakukan pengubahsuaian berbahaya serta individu menggunakan media sosial bagi menyelaras perlumbaan haram.
Ustaz Musoddak turut mencadangkan kerajaan mengenal pasti kawasan panas lumba haram berdasarkan data kemalangan, aduan penduduk dan operasi penguatkuasaan.
“Di samping meningkatkan pencahayaan, memasang kamera pengawasan serta memperbanyak rondaan di kawasan berkenaan,” ujarnya mengambil bahagian dalam perbahasan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Dewan Negara, Parlimen Malaysia, semalam.
Bagi pesalah muda pula, beliau mencadangkan program pemulihan merangkumi pendidikan keselamatan jalan raya, khidmat masyarakat dan latihan automotif yang sah agar minat terhadap sukan permotoran dapat dipisahkan daripada perbuatan mempertaruhkan nyawa orang awam.
Perlu semak imbang dalam penguatkuasaan
Menyentuh Fasal 30 yang memperkenalkan Seksyen 110B, Musoddak berkata beliau menyokong tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyerang, mengancam, mencederakan atau menghalang pegawai polis dan pegawai pengangkutan jalan ketika menjalankan tugas.
Namun, beliau memohon penjelasan mengenai perenggan 110B (1) (c) yang menjadikan penyebaran maklumat mengenai aktiviti pegawai sebagai satu kesalahan yang boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun.
Beliau mempersoalkan sama ada tindakan berkongsi lokasi sekatan jalan raya, memberi isyarat lampu kepada pengguna lain atau penggunaan aplikasi navigasi seperti ‘Google Maps’ boleh dianggap sebagai suatu kesalahan di bawah peruntukan tersebut.
Selain itu, beliau turut meminta penjelasan mengenai kedudukan wartawan yang membuat liputan atau pengguna jalan raya yang merakam tindakan pegawai bagi tujuan dijadikan bukti.
Menurut beliau, sekiranya tujuan peruntukan itu adalah untuk menghukum individu yang sengaja membantu pesalah melarikan diri atau menggagalkan operasi, elemen niat hendaklah dinyatakan dengan jelas.
Beliau juga mencadangkan supaya pengecualian diberikan kepada pelaporan kewartawanan, aduan salah laku, penyerahan bukti kepada pihak berkuasa dan pendedahan yang dibuat demi kepentingan awam.
Pendigitalan notis perlu lebih praktikal
Berhubung Fasal 33 yang membolehkan notis disampaikan secara elektronik, Ustaz Musoddak menyifatkan langkah pendigitalan itu sebagai sesuatu yang baik.
Namun katanya, sesuatu notis yang memasuki sistem tidak semestinya telah dibaca oleh penerima kerana nombor telefon boleh bertukar, alamat e-mel tidak lagi digunakan atau akaun digodam.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya notis penting dihantar melalui sekurang-kurangnya dua saluran komunikasi, selain menyediakan mekanisme mudah bagi membolehkan rakyat membuktikan kegagalan menerima notis bukan berpunca daripada kecuaian mereka.
Kesan kenaikan denda kepada rakyat
Musoddak turut membangkitkan kebimbangan terhadap beberapa fasal yang menaikkan kadar denda daripada RM300 kepada RM500, termasuk bagi kesalahan berkaitan nombor pendaftaran, lesen kenderaan motor, lesen memandu, had laju, keadaan kenderaan, pemeriksaan kenderaan dan arahan lalu lintas.
“Fasal 37 juga menaikkan amaun maksimum kompaun bagi kesalahan yang boleh dikompaun daripada RM300 kepada RM500.
“Kerajaan perlu menjelaskan sama ada penilaian telah dibuat terhadap kesan kenaikan tersebut kepada golongan B40, pekerja gig dan kumpulan berpendapatan rendah,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa ramai pengguna jalan raya mempunyai beberapa saman tertunggak yang hanya disedari apabila ingin memperbaharui lesen memandu atau cukai jalan, menyebabkan mereka terpaksa membayar jumlah besar sebelum urusan itu dapat diselesaikan.
Katanya, walaupun RM500 mungkin dianggap kecil bagi sesetengah pihak, jumlah itu boleh menyamai perbelanjaan makanan selama sebulan atau lebih bagi keluarga berpendapatan rendah.
Ustaz Musoddak turut meminta kerajaan menjelaskan asas penetapan kadar RM500 sama ada berdasarkan kajian kadar ketidakpatuhan, inflasi atau keberkesanan kadar denda RM300 yang sedang berkuat kuasa.
Selain itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan kemudahan bayaran secara ansuran bagi pesalah kali pertama daripada kumpulan berpendapatan rendah.
“Hukuman perlu berkadar dengan jenis kesalahan, tahap bahaya serta kemampuan pesalah, manakala kesalahan bersifat teknikal atau pentadbiran tidak seharusnya disamakan dengan kesalahan yang sengaja membahayakan nyawa,” jelas beliau.
Dasar diskaun saman perlu diperjelas
Dalam pada itu, Musoddak turut membangkitkan isu pemberian diskaun saman yang sering diumumkan pada penghujung tahun atau sempena program tertentu.
Beliau berpandangan amalan itu boleh mendorong sebahagian pengguna jalan raya sengaja menangguhkan pembayaran saman kerana menjangkakan diskaun akan diumumkan pada masa akan datang.
Katanya, keadaan tersebut menimbulkan persoalan keadilan apabila individu yang bertanggungjawab membayar saman lebih awal perlu menjelaskan jumlah penuh, sedangkan mereka menunggu berpeluang menikmati potongan.
Sehubungan itu, beliau memohon kerajaan menjelaskan dasar sebenar pemberian diskaun saman sama ada bertujuan membantu rakyat, menggalakkan penyelesaian tunggakan atau sekadar dilaksanakan sempena program tertentu.
Beliau menegaskan bahawa isu dibangkitkan bukan melibatkan mekanisme pengurangan kadar bagi pembayaran awal yang telah dilaksanakan, sebaliknya tertumpu kepada pemberian diskaun terhadap saman lama dan tunggakan masih belum diselesaikan.
“Saya tetap menyokong RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026, namun berharap segala penambahbaikan yang dicadangkan dapat dipertimbangkan bagi memastikan pelaksanaan undang-undang itu lebih adil, jelas dan berkesan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2026











