‘Sebar maklumat’ sekatan jalan raya perlu diperjelas

Dedah maklumat operasi atau laporan wartawan atau NGO pemantau

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Peruntukan baharu Seksyen 110B mengenai kesalahan menyebarkan maklumat adalah perkara yang paling ingin saya tumpukan perhatian kerana skopnya terlalu luas dan boleh menyentuh kebebasan media serta akauntabiliti awam,” tegas Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff.

Beliau menjelaskan, Seksyen 110B(1)(c) memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana individu yang menyebarkan maklumat mengenai aktiviti pegawai polis atau pegawai pengangkutan jalan yang melaksanakan tugas.

- Advertisement -

Iaitu boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun, selain diklasifikasikan sebagai kesalahan boleh tangkap.

Menurut beliau, istilah ‘menyebarkan maklumat’ tidak ditakrifkan secara jelas dalam Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 ini sehingga menimbulkan persoalan sama ada ia turut melibatkan orang awam.

Beliau merujuk perbuatan merakam dan berkongsi video sekatan jalan raya di media sosial atau wartawan yang membuat liputan operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau polis trafik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pemantau aspek integriti penguatkuasaan.

Dr Wan Martina turut meminta kementerian menjelaskan bagaimana peruntukan itu dapat dibezakan antara tindakan yang benar-benar menghalang operasi penguatkuasaan dengan penyebaran maklumat yang dibuat demi kepentingan awam serta kebebasan bersuara.

“Saya mencadangkan supaya skop kesalahan tersebut dihadkan hanya kepada penyebaran maklumat yang secara khusus bertujuan menggagalkan operasi penguatkuasaan yang sedang dijalankan.

“(Iaitu) seperti memberi amaran kepada suspek untuk mengelakkan sekatan jalan raya dan bukannya meliputi rakaman atau liputan biasa di ruang awam,” ujar beliau ketika membahaskan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Dewan Negara, semalam.

Selain itu, beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap pindaan Seksyen 53B(2A) yang memperkenalkan pengecualian kepada anggapan sedia ada berkaitan kesalahan yang dirakam kamera.

Menurut beliau, walaupun penggunaan teknologi mampu memperkukuhkan penguatkuasaan, kementerian perlu memberi jaminan bahawa rakaman kamera yang dijadikan asas pertuduhan memenuhi piawaian pengesahan kualiti dan ketepatan.

Dalam pada itu, Wan Martina berpandangan bahawa RUU berkenaan memberi penekanan terlalu besar kepada aspek penguatkuasaan melalui peningkatan kadar denda dan hukuman penjara.

Sedangkan katanya, keselamatan jalan raya juga bergantung kepada pendidikan pengguna, kejuruteraan jalan, teknologi kenderaan, penguatkuasaan pintar serta perubahan sikap masyarakat.

Beliau mempersoalkan sama ada kerajaan mempunyai bukti empirikal bahawa kenaikan hukuman semata-mata mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Menurutnya, pindaan itu menaikkan kadar denda minimum bagi hampir 20 kesalahan daripada RM300 kepada RM500 secara seragam, selain meningkatkan hukuman bagi kesalahan berat termasuk Seksyen 108 berkaitan penyataan palsu dan Seksyen 32 mengenai kehilangan kelayakan lesen.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kenaikan tersebut dibuat berdasarkan kajian kos sara hidup atau kajian impak terhadap golongan berpendapatan rendah yang merupakan pengguna utama jalan raya.

Malah, beliau menyifatkan peningkatan hukuman penjara maksimum bagi kesalahan di bawah Seksyen 108 daripada satu tahun kepada 10 tahun sebagai terlalu besar tanpa pengkelasan tahap keseriusan kesalahan seperti membezakan antara niat jenayah dengan kesilapan pentadbiran.

Martina juga menegaskan kejayaan sesuatu undang-undang tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah saman atau kadar denda yang dikenakan, sebaliknya melalui penurunan kadar kematian dan kecederaan serius di jalan raya serta peningkatan disiplin pengguna jalan raya.

Beliau berkata, walaupun menyokong usaha kerajaan memodenkan penguatkuasaan melibatkan kenderaan elektrik, mikromobiliti dan sistem digital.

Kementerian gesanya, wajar mempertimbangkan semula skop Seksyen 110B agar tidak menjejaskan kebebasan media serta memastikan mekanisme perlindungan prosedur diwujudkan bagi mereka yang terkesan oleh pelaksanaan kawasan diisytiharkan dan sistem notis elektronik. – HARAKAHDAILY 22/7/2026

- Advertisement -