‘Bila Melayu-Islam berpecah, ada pihak raih untung’

Adat Perpatih N9 berteras syarak wajib dipertahankan

- Advertisement -

REMBAU: Penyatuan PAS dan Umno menerusi kerjasama PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) disifatkan mampu membentuk kekuatan baharu umat Islam dan orang Melayu.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkeyakinan ia sekali gus menjadi asas untuk menawan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 ini.

- Advertisement -

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pilihan raya kali ini mencatat sejarah apabila dua parti terbesar orang Melayu bergabung bagi menghadapi pilihan raya secara bersama.

Menurut beliau, penyatuan itu bukan sekadar kerjasama politik, sebaliknya menepati tuntutan Islam yang menyeru umatnya supaya bersatu berlandaskan ajaran al-Quran.

“Pilihan raya kali ini mencatat sejarah penyatuan parti terbesar orang Melayu di negara kita apabila Barisan Nasional (BN) dan PERIKATAN NASIONAL (PN) masuk pilihan raya bersama.

“InsyaAllah dengan perpaduan orang Melayu Islam ini akan membina suatu kekuatan baharu kepada umat Islam yang sebelum ini berpecah sehingga pihak lain mendapat keuntungan daripada perpecahan tersebut,” katanya.

Ustaz Nassuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti berucap demikian pada Ceramah Umum Perdana PERIKATAN NASIONAL di Kampung Paroi, di sini kelmarin.

Beliau memulakan ucapan dengan memetik firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 103 yang menyeru umat Islam supaya berpegang teguh kepada tali Allah dan tidak berpecah belah.

Katanya, tali Allah dimaksudkan ialah al-Quran yang menjadi panduan serta asas penyatuan umat Islam, selaras dengan hadis Rasulullah SAW menjelaskan bahawa sesiapa berpegang teguh kepada al-Quran akan dibimbing ke jalan lurus.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan keputusan kepimpinan PAS, Umno, PN dan BN untuk bekerjasama sebagai langkah yang tepat demi memperkukuhkan perpaduan umat Islam.

“InsyaAllah pilihan raya kali ini kita tawan Negeri Sembilan, selepas ini Melaka dan selepas itu kita akan tawan Putrajaya. Kalau kita bersatu kita akan kuat. Bersatu teguh, bercerai roboh. Rasulullah SAW bersabda, berjemaah itu rahmat dan berpecah itu azab,” katanya.

Mohd Nassuruddin berkata, Negeri Sembilan mempunyai identiti Melayu yang kukuh melalui pegangan adat pepatih berteraskan syariat Islam dengan prinsip adat bersendikan syarak, syarak bersendikan Kitabullah.

Beliau turut mengambil iktibar daripada kisah persaudaraan Aus dan Khazraj yang akhirnya bersatu selepas menerima Islam meskipun pernah bermusuhan selama lebih satu abad.

“Perbalahan antara PAS dan Umno tidak pernah sampai ke tahap sedemikian, justeru penyatuan yang berlaku hari ini perlu dipelihara. Saya yakin dengan penyatuan ini BN dan PN akan menang pada pilihan raya 1 Ogos ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perebutan jawatan hanya akan melemahkan umat Islam, sambil menegaskan kepimpinan PAS telah menyatakan Negeri Sembilan akan diterajui BN sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri.

“Kita bukan hendak berebut jawatan, kita hendak orang kita menguasai negeri,” ujarnya turut menegaskan Kerajaan Islam tidak pernah menzalimi masyarakat bukan-Islam dan menjadikan pentadbiran Kelantan sebagai contoh keharmonian antara kaum.

Menurutnya, masyarakat Cina, India dan Siam terus hidup aman di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang mengutamakan kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau berkata, antara inisiatif dilaksanakan ialah Skim Kifalah di mana memberi bantuan RM1,000 kepada waris rakyat berusia 55 tahun ke atas yang meninggal dunia serta bantuan RM1,000 kepada pasangan yang berkahwin buat kali pertama.

“Islam mengajar supaya orang Islam dan bukan-Islam hidup dalam keadaan selamat. Bila kita letakkan Islam sebagai dasar pentadbiran negeri, orang Islam selamat dan orang bukan-Islam juga selamat,” katanya.

Mengakhiri ucapan, beliau mengajak pengundi keluar mengundi pada 1 Ogos serta memberi sokongan kepada calon PN dan BN.

“Tengok lambang PERIKATAN NASIONAL atau lambang Barisan Nasional terus kita pangkah. InsyaAllah perubahan bermula di Negeri Sembilan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2026

- Advertisement -