Datuk Razali tekad jadi wakil rakyat mudah didekati

- Advertisement -

SEREMBAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Sikamat, Datuk Razali Abu Samah bertekad menjadi wakil rakyat yang mudah didekati.

Beliau berikrar akan mengutamakan pendekatan mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat bersama masyarakat jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 ini.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Perdana PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) Parlimen Seremban di Markas PAS Seremban, di sini kelmarin

Menurutnya, amanah sebagai calon PN di DUN Sikamat akan digalas sebaik mungkin bersama seluruh jentera bagi memastikan kemenangan gabungan itu, sekali gus menumbangkan Pakatan Harapan (PH).

“Saya Razali bin Abu Samah, anak jati Negeri Sembilan. Saya diberi mandat sebagai calon di N.13 Sikamat. Amanah yang diberikan ini akan saya galas bersama jentera bagi memberikan komitmen kepada seluruh penduduk N.13 Sikamat,” katanya.

Razali yang juga bekas Timbalan Ketua Polis Negeri Melaka berkata, beliau bukan seorang petah berucap atau gemar menabur janji, tetapi sukar ditunaikan kepada rakyat.

“Saya datang daripada orang yang tak pandai bercakap dan tidak pandai berjanji. Saya tidak akan berjanji bulan dan bintang. Namun saya berjanji untuk menjadi wakil rakyat yang mudah didekati oleh semua pengundi,” ujarnya.

Beliau berkata, sekiranya diberi kepercayaan, khidmatnya akan berteraskan empat pendekatan utama iaitu mendengar suara rakyat dan melihat sendiri keadaan di lapangan.

Juga janjinya, mengkaji setiap isu secara menyeluruh serta berbincang bersama masyarakat bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Kita bersama sama lakukan empat perkara. Pertama kita mendengar, kedua kita melihat, ketiga kita mengkaji dan keempat kita duduk bersama untuk berbincang serta mencari keputusan yang terbaik untuk semua,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh jentera dan pengundi supaya bersama sama memperkukuhkan usaha memenangkan PN di DUN Sikamat bagi membawa perubahan kepada rakyat pada PRN Negeri Sembilan.

“InsyaAllah, dengan sokongan semua, kita akan berusaha membawa perubahan yang lebih baik kepada penduduk Sikamat,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2026

- Advertisement -