PRN16 N9 mencabar, tapi paduan PN-BN boleh menang

- Advertisement -

SEREMBAN: PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) sedang memperlihatkan kesepakatan kedua-dua gabungan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, kata Ketua Bahagian Umno Seremban, Dato’ Mazlan Maarop.

Beliau berkata, persefahaman kedua parti bukan sekadar gabungan biasa, sebaliknya melambangkan kesungguhan kedua-dua gabungan untuk memastikan kemenangan calon PN dan BN pada hari pengundian, 1 Ogos nanti.

- Advertisement -

“Selepas Muafakat Nasional, inilah pertemuan besar di antara kepimpinan Barisan Nasional dan kepimpinan PN. Pertemuan ini bukan untuk suka-suka, tetapi untuk memastikan kemenangan calon calon BN dan PN pada 1 Ogos nanti.

“Kalau macam inilah caranya, insya-Allah kita menang,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Perdana PN dan BN Parlimen Seremban di Markas PAS Seremban, di sini kelmarin.

Menurut beliau, kejayaan pada PRN Negeri Sembilan bakal menjadi titik permulaan kepada usaha lebih besar untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

“Perjalanan dalam pilihan raya negeri ini adalah satu permulaan kepada perjalanan kita untuk menguasai Putrajaya. Kemenangan BN dan PN di Negeri Sembilan ini menjadi satu penanda kepada perjalanan kita ke Putrajaya nanti,” ujarnya.

Mazlan turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan pelbagai parti yang hadir memberikan sokongan kepada jentera kempen, antaranya Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid.

Juga Setiausaha WAWASAN, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali serta Yang Dipertua PAS Seremban, Ustaz Rusmin Adam dan aktivis, Datuk Mohd Ezam Md Nor.

“Semuanya datang tidak lain dan tidak bukan untuk memberikan kita semangat dan pedoman menghadapi pilihan raya yang cukup mencabar di Negeri Sembilan ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata nama gabungan politik boleh diperhalusi kemudian kerana perkara yang lebih penting ialah membentuk kerajaan negeri secara bersama.

“BN-PN ke, PN-BN ke, nanti kita runding sama-sama. Yang penting ialah kuasa dan pemerintahan di peringkat Negeri Sembilan ini mesti kita kongsi di antara Barisan Nasional (BN) dan PERIKATAN NASIONAL (PN),” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2026

- Advertisement -