
KUALA LUMPUR: DAP menyatakan ia sebagai sebuah parti yang mewakili semua rakyat Malaysia tidak akan meyakinkan masyarakat selagi gagal membuktikan komitmen secara konsisten, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi WAWASAN, Bibi Sunita Sakandar Khan.
Beliau merujuk komitmen itu terhadap Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu dan hak-hak yang dijamin dalam kontrak perlembagaan negara.
Menurutnya, rakyat hari ini tidak lagi menilai sesebuah parti berdasarkan latar belakang individu yang menjadi ahlinya, sebaliknya melihat kepada dasar, rekod perjuangan dan tindakan keseluruhan parti.
Jelas Bibi Sunita, kewujudan beberapa pemimpin Melayu atau Islam dalam DAP juga bukan bukti bahawa parti itu benar-benar memperjuangkan kepentingan semua kaum dan agama.
Beliau memberi reaksi kepada kenyataan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang menyifatkan dirinya sebagai ‘bukti hidup’ bahawa DAP merupakan parti untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
“Rakyat berhak menilai DAP berdasarkan pendirian rasmi, rekod perjuangan, keputusan kolektif dan tindakan para pemimpinnya, bukan berdasarkan identiti seorang atau dua orang ahlinya.
“Parti itu perlu membuktikan komitmen sebenar melalui dasar dan tindakan, bukannya bergantung kepada slogan politik semata-mata,” katanya Sunita yang juga pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).
Menurut beliau, sekiranya DAP benar-benar mahu diterima sebagai parti untuk semua rakyat Malaysia, komitmen itu perlu dizahirkan melalui penghormatan terhadap kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.
Tegasnya, perkara termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan perlu DAP pertahankan bersama kedudukan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu dalam sistem Raja Berperlembagaan.
Selain peringatnya agar DAP menghormati Perkara 153 berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak di samping kepentingan sah kaum-kaum lain, serta mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perkara 152.
Beliau berkata, prinsip-prinsip Rukun Negara dan kontrak Perlembagaan yang menjadi asas pembentukan Malaysia juga perlu diterjemahkan dalam setiap dasar dan tindakan parti.
“Semua ini tidak boleh dijawab hanya dengan slogan ‘DAP untuk semua’. Ia mesti diterjemahkan melalui dasar parti, ucapan pemimpin, corak pengundian wakil rakyat, tindakan pentadbiran dan disiplin terhadap mana-mana pemimpinnya.
“(Iaitu kepada mereka) yang mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama, kaum atau institusi negara,” katanya yang dalam pada itu, turut membidas kenyataan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, berhubung isu orang Melayu makan di premis makanan milik masyarakat Cina.
Menurut beliau, kenyataan tersebut telah mengalihkan fokus daripada isu sebenar kerana masyarakat berbilang kaum di Malaysia sememangnya telah lama hidup dalam suasana saling menghormati dan mengunjungi premis milik pelbagai kaum.
Sebaliknya kata Bibi Sunita, bagi umat Islam, persoalan utama ialah yang diberi perhatian penting dalam perkara tersebut ialah jaminan halal terhadap makanan dihidangkan.
“Status halal tidak ditentukan oleh kaum pemilik restoran, tetapi bergantung kepada sumber bahan mentah, cara penyediaan, kebersihan peralatan serta risiko percampuran dengan bahan yang diharamkan syarak.
“Oleh sebab itu, kebimbangan umat Islam terhadap status halal tidak seharusnya dipermudah atau ditafsirkan sebagai isu perkauman. Menghormati tuntutan agama umat Islam bukanlah suatu bentuk diskriminasi terhadap kaum lain,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menyanggah kenyataan pemimpin wanita Melayu DAP tersebut yang menyebut, ‘jangan makan satu meja, makanlah di meja sebelah.’
Menurutnya, kenyataan sedemikian boleh menimbulkan kekeliruan kerana dalam penentuan hukum halal dan haram, jarak tempat duduk bukanlah faktor yang menjadi ukuran syarak.
“Yang menjadi ukuran ialah kandungan makanan, sumber bahan, proses penyediaan, penggunaan peralatan dan pematuhan terhadap hukum syarak,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan supaya semua pemimpin politik lebih bertanggungjawab ketika mengulas isu berkaitan agama dan kaum, serta tidak menggunakan kenyataan yang bersifat populis sehingga mengelirukan masyarakat.
Tegasnya, perpaduan nasional hanya dapat diperkukuhkan apabila setiap pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan, institusi negara dan tuntutan agama, bukannya dengan meminta umat Islam mengenepikan prinsip syariat demi memenuhi naratif politik tertentu.
“Rakyat tidak memerlukan ‘bukti hidup’ dalam bentuk seorang individu. Apa yang rakyat mahukan ialah bukti melalui dasar, tindakan dan pendirian keseluruhan parti,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2026











