
MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyangkal dakwaan bahawa kerjasama antara PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hanyalah sekadar wayang politik.
Sebaliknya beliau berkata, kerjasama terjalin ketika ini adalah hasil kesepakatan yang diterjemahkan melalui gerak kerja bersama di lapangan melibatkan pemimpin, jentera dan penyokong kedua-dua gabungan.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, komitmen yang ditunjukkan oleh ahli parti membuktikan kerjasama itu bukan dibuat secara sambil lewa atau sekadar demi untuk meraih persepsi politik.
“Bukan wayang. Kita habis duit. Orang PAS belanja sendiri dan bekerja dengan penuh tenaga. Termasuk orang Umno juga habis duit dan turun bekerja. Jadi, wayang apa (sebenarnya) yang orang kata?” katanya ketika ditemui pemberita di Rusila selepas Kuliah Duha, di sini hari ini.
Mengulas perjalanan kempen setakat ini, Tuan Guru menyifatkan hubungan PN-BN berada dalam keadaan baik dan terus diperkukuhkan menerusi pelbagai program bersama.
“(Hubungan) sangat baik. Sudah ada ceramah bersama dan Insya-Allah saya akan pergi minggu hadapan,” ujarnya yang juga bekas Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
Beliau turut menyeru pengundi supaya memilih calon Melayu-Islam yang mampu memperkukuhkan kepimpinan negeri serta mempertahankan kedudukan Islam dan Melayu.
Undi calon bukan-Islam yang tidak ekstrem
Katanya yang juga bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, sokongan juga perlu diberikan kepada calon bukan-Islam yang sederhana serta tidak membawa fahaman ekstrem.
“Kita menyeru supaya memenangkan calon-calon Melayu-Islam. Kita mahu memastikan Melayu-Islam memimpin negeri semula. Sebab itu kita minta undi calon Melayu-Islam daripada PN-BN serta calon bukan-Islam yang tidak ekstrem seperti MCA dan MIC,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang dengan konsep pemerintahan Islam yang sentiasa mengajar keadilan dan menolak kezaliman dalam pentadbiran.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera bersama pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan.
Sebanyak 103 calon bertanding merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) PRN Negeri Sembilan ke-16.
SPR menetapkan tarikh pengundian awal pada 28 Julai ini, manakala hari mengundi adalah 1 Ogos. – HARAKAHDAILY 24/7/2026














