WAWASAN jadi jambatan realisasi kerjasama PN-BN

Umno, WAWASAN dan PAS berdamai demi kestabilan politik

- Advertisement -

SEREMBAN: Kerjasama PN dan BN disifatkan sebagai asas penting untuk mengembalikan kestabilan politik negara, sekali gus membuka laluan ke Putrajaya bermula dengan kemenangan di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 1 Ogos ini.

- Advertisement -

Setiausaha Agung WAWASAN, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kerjasama itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil rundingan yang telah dimulakan sebelum PRN Johor dengan berteraskan semangat Muafakat Nasional.

Menurut beliau, WAWASAN memainkan peranan sebagai jambatan dalam merealisasikan kerjasama berkenaan sehingga pembahagian kerusi dapat dimuktamadkan melalui semangat keikhlasan dan tolak ansur.

“Di Negeri Sembilan, Barisan Nasional (BN) bertanding 25 kerusi dan PERIKATAN NASIONAL (PN) bertanding 11 kerusi. Insya-Allah pada 1 Ogos kita tawan Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Perdana PN dan BN di Markas PAS Seremban.

Beliau berkata, gelombang kerjasama itu semakin terserlah apabila pimpinan pelbagai parti berkongsi pentas sepanjang kempen di beberapa lokasi termasuk Sikamat, Tampin, Klawang dan Seremban.

“Gelombang biru bermula di Negeri Sembilan. Selepas ini kita ke Melaka dan selepas itu ke Putrajaya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota.

Saifuddin berkata, perjuangan politik yang didukung bukan sekadar untuk memperoleh kuasa, sebaliknya berteraskan tuntutan agama bagi menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

“Umno, WAWASAN dan PAS berdamai untuk menuju kemenangan yang lebih besar. Kita mengaku kesilapan dahulu, tetapi kita kembali bertaut demi kepentingan negara,” katanya turut menolak tanggapan penyatuan politik Melayu dan Islam akan mengancam masyarakat bukan-Islam.

Sebaliknya tegas beliau lagi, perpaduan yang berlandaskan al-Quran dan sunnah akan membawa keamanan, kesejahteraan serta manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Semakin orang Melayu-Islam bersatu, semakin baik masa depan semua rakyat. Perpaduan Melayu Islam sebenarnya juga adalah perpaduan seluruh rakyat tanpa mengira agama dan kaum,” jelasnya.

Mengulas landskap politik semasa, beliau berpandangan sesebuah kerajaan hanya mampu kekal stabil sekiranya mendapat sokongan majoriti daripada kaum majoriti serta majoriti daripada kaum minoriti.

Justeru katanya, kemenangan di Negeri Sembilan perlu dijadikan titik permulaan untuk membentuk kerajaan yang lebih stabil di peringkat nasional.

Beliau berkata, kerjasama antara parti dalam gabungan itu turut diterjemahkan melalui penyelarasan jentera pilihan raya apabila pimpinan, sayap parti dan jentera berkongsi kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM), menyusun gerak kerja serta saling membantu tanpa mengira latar belakang parti.

“Apabila semua warna itu bergabung, akhirnya ia menjadi satu gelombang, iaitu gelombang biru,” katanya turut memberitahu kerjasama PN juga bersifat inklusif apabila daripada 11 kerusi ditandingi, empat kerusi diperuntukkan kepada calon bukan-Melayu.

Menurut beliau, pendekatan itu membuktikan kerjasama yang dibentuk berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Kita perlu bekerja bersungguh sungguh bagi memastikan kemenangan di Negeri Sembilan menjadi langkah pertama ke arah pembentukan kerajaan yang adil, menegakkan kebenaran dan membawa manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2026

- Advertisement -