PRN16 N9 kunci selamatkan negara, laluan ke Putrajaya

- Advertisement -

SEREMBAN: Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali menyifatkan penyatuan orang Melayu menerusi kerjasama PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) sebagai kunci untuk menyelamatkan negara serta membuka laluan ke Putrajaya.

Beliau berkata, sejarah membuktikan setiap kali orang Melayu berdepan ancaman terhadap agama, bangsa dan negara, penyatuan menjadi kekuatan utama sehingga berjaya mempertahankan hak serta kedaulatan tanah air.

- Advertisement -

“Negara ini hanya boleh diselamatkan kalau terasnya Melayu dengan janji untuk menjaga bangsa bangsa lain,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Perdana PN-BN Parlimen Seremban di Markas PAS Seremban, kelmarin.

Mengimbas sejarah, beliau berkata, penentangan terhadap Malayan Union selepas Perang Dunia Kedua membuktikan penyatuan orang Melayu berjaya mempertahankan Institusi Raja-raja Melayu serta hak rakyat.

“Apabila British kembali dengan rancangan Malayan Union yang mengurangkan kedudukan Raja-raja Melayu dan menguasai pentadbiran negara, orang Melayu daripada pelbagai lapisan masyarakat bangkit bersatu.

“Sehingga rancangan (Malayan Union) itu berjaya digagalkan. Kalau British kita boleh kalahkan dan akhirnya memperoleh kemerdekaan, apatah lagi cabaran politik yang sedang kita hadapi hari ini,” ujarnya

Rafique berkata, usaha penyatuan Melayu sering dilabel sebagai bersifat perkauman, sedangkan kerajaan yang mentadbir negara tetap tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak semua rakyat.

Beliau menyatakan, Perlembagaan memperuntukkan kedudukan Islam, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta Institusi Raja-raja Melayu sebagai asas negara, manakala hak kaum dan penganut agama lain turut dipelihara.

“Kenapa perlu takut jika orang Melayu bersatu? Sedangkan sejarah membuktikan apabila orang Melayu bersatu, negara ini aman dan makmur bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi juga untuk bangsa bangsa lain,” tegasnya.

Beliau turut menolak kenyataan bahawa penyatuan parti-parti Melayu akan mewujudkan kerajaan yang bersifat perkauman kerana pentadbiran negara sentiasa berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

Menurutnya, negara ketika ini memerlukan penyatuan kerana berdepan pelbagai cabaran yang memerlukan semua pihak mengetepikan kepentingan diri serta ego politik.

“Ego itulah yang kita kena letak tepi dahulu kerana kita perlu selamatkan negara ini,” kata pengamal undang-undang yang juga Ketua Penerangan PEJUANG.

Dalam pada itu, beliau menyeru pengundi Melayu keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan Ke-16 dengan melakukan pemilihan undi pada 1 Ogos nanti.

Masyarakat Melayu perlu menghantar isyarat jelas bahawa sokongan kepada gabungan PN dan BN bukan hanya demi kepentingan orang Melayu, sebaliknya bagi memastikan kebajikan seluruh rakyat terus terpelihara, katanya

“Hanya satu hari dalam tempoh empat atau lima tahun rakyat menjadi raja. Gunakan peluang itu untuk memilih pemimpin yang amanah, ikhlas dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menggesa pertubuhan bukan kerajaan Melayu memainkan peranan mengajak masyarakat keluar mengundi sebagaimana dilakukan beberapa pertubuhan lain.

Mengulas cabaran semasa negara, Rafique berkata, bentuk penjajahan pada masa kini bukan lagi melalui peperangan, sebaliknya menerusi penguasaan ekonomi, media sosial dan pemikiran.

Beliau turut membangkitkan isu sebuah institusi pendidikan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan penyokong Zionis, selain menyentuh reaksi beberapa anggota Senat Amerika Syarikat terhadap pendirian Malaysia.

“Kita tidak takut dengan Amerika. Kalau British boleh kita usir dahulu, saya percaya rakyat Malaysia juga mampu mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada isu yang menurutnya lebih utama termasuk berkaitan BlackRock, dan rakyat semakin muak dengan apa yang disifatkannya sebagai sandiwara politik.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Negeri Sembilan menjadikan pilihan raya negeri kali ini sebagai titik permulaan kepada perubahan politik.

“Pada hari pengundian nanti, Negeri Sembilan mesti membuktikan bahawa PN dan BN mampu mengambil alih kerajaan negeri, sekali gus membuka laluan ke Putrajaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2026

- Advertisement -