
ALOR SETAR: Sumbangan para penternak amatlah dihargai kerana mereka antara tunjang utama menjayakan agenda keterjaminan makanan negara, demikian kata Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, di sini.
Kata beliau, Kerajaan Negeri komited memperkembangkan lagi industri penternakan dengan penggunaan teknologi moden serta amalan penternakan terbaik bagi penghasilan baka yang lebih berkualiti dan berdaya saing.
“Dalam Islam, menjaga haiwan ternakan bukan sekadar amalan yang baik, ia juga adalah ibadah dan amanah daripada Allah SWT.
“Menganjurkan program-program seperti ini juga adalah satu kegiatan yang baik untuk menggalakkan dan memakmurkan lagi industri penternakan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Kebajikan Haiwan, Himpunan Lembu Sado Malaya dan Sambutan World Rabies Day, Peringkat Negeri Kedah di Suka Menanti, di sini semalam.
Tegasnya lagi, melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah, kerajaan memperuntukkan hampir RM6 juta setiap tahun bagi pelaksanaan projek di bawah Bajet Pembangunan Negeri.
Di mana ujar beliau, peruntukan itu bagi perolehan membekal semen berkualiti, peralatan teknologi pembiakan serta pelbagai kelengkapan yang diperlukan untuk memperkukuh pelaksanaan program di bawah veterinar negeri.
“Ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menyokong industri ternakan di negeri ini, meningkatkan sektor ternakan, memperluaskan pengeluaran baka lembu hibrid yang berkualiti tinggi untuk meningkatkan produktiviti ternakan.
“Usaha ini bagi menjamin bekalan daging tempatan yang mampan untuk memenuhi keperluan rakyat. Kita juga mahukan industri penternakan berkembang dengan penggunaan teknologi moden.
“Amalan penternakan terbaik serta penghasilan baka yang lebih berkualiti dan berdaya saing,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.
Program tersebut katanya, bukan sekadar memberi peluang kepada masyarakat melihat keunikan dan potensi baka Lembu Sado Malaya, malah lebih penting daripada itu, mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebajikan haiwan.
Selain itu, program itu juga ujar Sanusi, akan menjadi satu platform menyatukan pembangunan industri ternakan, pendidikan masyarakat serta kesedaran terhadap kesihatan awam dan kebajikan haiwan.
Dalam masa yang sama, beliau juga menasihatkan para pemain industri penternakan agar jangan hanya bermatlamat untuk meraih keuntungan semata-mata.
Sebaliknya kata beliau, turut memastikan kesejahteraan haiwan yang menjadi tanggungjawab bersama bagi menghasilkan produktiviti tinggi serta menyumbang kepada keselamatan makanan, kesihatan awam dan kelestarian industri penternakan negara.
“Penglibatan masyarakat terutamanya golongan muda perlu diberikan perhatian agar industri ternakan ini terus berkembang, seterusnya menjadikan Kedah sebagai negeri yang kaya dengan sumber makanan berasaskan ternakan sesuai dengan slogan ‘The Greater Kedah’,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Sanusi juga tidak lupa merakamkan penghargaan kepada para penternak yang menunjukkan komitmen, kesungguhan dan semangat tinggi dalam memajukan industri penternakan di negeri ini.
Tegasnya, pengorbanan penternak tidak pernah kenal erti penat terutama yang bermula secara kecil-kecilan sehinggalah menjadi penternak komersial amatlah dihargai.
“Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran seperti peningkatan kos pengeluaran, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi, para penternak terus berusaha meningkatkan pengeluaran demi memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 26/7/2026












