
KUALA KEDAH: Para ibu bapa disarankan agar mengambil peranan sebaiknya bagi memastikan anak-anak tidak terjebak dengan masalah sosial yang semakin meruncing dewasa ini, nasihat Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan Negeri itu berkata, ibu bapa perlu tahu dengan siapa anak-anak berkawan dan ke mana mereka pergi.
“Penyalahgunaan dadah antara musuh utama yang merosakkan kalangan anak-anak muda kita.
Andainya anak-anak muda sekarang rosak, bagaimana keadaan negara masa hadapan kerana mereka inilah pelapis untuk menerajui negara mahupun negeri suatu hari nanti,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Hari Komuniti ‘Kampungku Sejahtera’, Peringkat Negeri Kedah, di Masjid Selarong Panjang, di sini semalam.
Tegas Ashah lagi, ibu bapa mahupun masyarakat sekeliling perlu peka kepada perkembangan semasa bagi membantu gejala tidak sihat dari terus menular ke komuniti dan kampung masing-masing.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan hadirin akan bahayanya rokok elektronik atau ‘vape’ di mana cecairnya boleh dicampur dengan dadah yang boleh memberi kebinasaan kepada penggunanya.
“Masalah sosial, penyalahgunaan dadah, vape dan sebagainya, bukan kini menyerang anak-anak muda di bandar-bandar sahaja, tetapi juga di kampung-kampung.
“Sebab itu perlunya pengemblengan tenaga dan perhatian semua pihak untuk memastikan ia dibentras dengan sebaiknya,” tambah beliau.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, turut menekankan agar ibu bapa khususnya yang beragama Islam, memastikan ahli keluarganya mendirikan solat lima waktu.
Dato’ Ashah turut berkongsi pengalamannya ketika merasmikan satu program yang lain, mendapati ramai dari kalangan anak-anak remaja apabila ditanya berkenaan solat, mengaku tidak menunaikannya.
“Ada yang solat tidak cukup lima waktu, ada yang tidak solat langsung. Ini satu perkembangan yang tidak baik malah membimbangkan,” kata beliau lagi.
Terdahulu, sempena program tersebut, beliau dibawa menziarahi beberapa rumah warga kalangan kurang berkemampuan termasuk yang terlibat dengan ‘The Pearl Of Kedah’, sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundur. – HARAKAHDAILY 26/7/2026











