
GOMBAK: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Halim Tamuri membangkitkan semangat pimpinan dan ahli-ahli Dewan Muslimat PAS Selangor agar bersiap siaga mengambil alih Kerajaan Negeri Selangor.
Beliau menyeru demikian ketika menyampaikan amanat berkaitan hala tuju kepimpinan dan masa depan Selangor pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Selangor Kali Ke-39 di Laman Harmoni, di sini hari ini.
Dalam ucapannya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras menegaskan bahawa Kerajaan Selangor memerlukan sebuah pentadbiran yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat.
“Selangor mesti diambil alih oleh PAS. Seiring moto ‘Selangor Deserves Better’,” katanya menegaskan bahawa PAS mempunyai keupayaan untuk menawarkan kepimpinan lebih berintegriti, berwibawa dan berpaksikan nilai-nilai Islam dalam mentadbir negeri.
Menurut beliau, kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan atau mengurus organisasi semata-mata, sebaliknya merupakan amanah untuk membimbing masyarakat ke arah kehidupan yang lebih baik.
“Kita bukan hanya memimpin organisasi, tetapi memimpin masyarakat. Kepimpinan yang baik ialah kepimpinan yang mampu membentuk masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh anggota PAS agar sentiasa bersedia menjadi pemimpin yang berkhidmat dengan penuh amanah dan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.
“Bersedialah menjadi pemimpin dan laksanakan amanah sebaik mungkin,” ujarnya yang merupakan bekas Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa perjuangan PAS tidak terhad kepada ahli-ahlinya sahaja, sebaliknya merangkumi seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“PAS For all. PAS bukan hanya untuk ahli, tetapi membawa tanggungjawab kepada seluruh masyarakat,” katanya menekankan kepentingan memperkukuhkan sistem kepimpinan yang lebih tersusun, sistematik dan berkesan.
Tegas beliau, ia bagi memastikan organisasi terus berkembang serta diyakini rakyat. – HARAKAHDAILY 26/7/2026











