Muslimat Selangor perkukuh agenda kepimpinan, perjuangan

- Advertisement -

GOMBAK: Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS) Kali Ke-39 berlangsung dalam suasana penuh semangat dan harmoni dengan menghimpunkan pimpinan, perwakilan dan pemerhati.

- Advertisement -

Muktamar yang menjadi medan tertinggi organisasi itu menyaksikan penyertaan pelbagai peringkat, sekali gus menggambarkan kesinambungan kepimpinan dan kesatuan saf perjuangan terus diperkasakan.

Seawal jam 7.00 pagi lagi, kawasan sekitar sudah mula dipenuhi oleh kehadiran para perwakilan dan pengunjung yang mahu mengikuti perjalanan muktamar berlangsung di Dewan Laman Harmoni, di sini.

Pasukan Briged Muslimat dilihat segak berkawal dan mengawal kelancaran lalu lintas, mengurus parkir kenderaan serta membantu urusan pendaftaran peserta dengan penuh disiplin dan dedikasi.

Kehadiran mereka mencerminkan kesiapsiagaan generasi pelapis yang bersedia memikul amanah dalam memperkukuh organisasi dan memastikan setiap program berjalan lancar.

Muktamar kali ini turut memperlihatkan kesatuan tiga entiti utama Dewan tersebut iaitu Ameerah, Briged Muslimat dan Muslimat yang berganding bahu menjayakan keseluruhan perjalanan program.

Turut hadir ialah pimpinan Dewan Ulamak, Dewan Pemuda, Dewan Himpunan Pendukung, Dewan Assabiqun PAS Negeri yang menyerlahkan semangat kebersamaan memperkukuhkan perjuangan Islam.

Kemeriahan perjalanan aturcara muktamar turut diserikan juga dengan lebih 10 gerai jualan turut mengambil bahagian dengan menawarkan pelbagai produk serta perkhidmatan.

Penyertaan para usahawan Muslimat itu malah menjadi salah satu usaha menjana dana bagi menyokong aktiviti dan pembangunan Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor.

Kejayaan penganjuran muktamar merupakan hasil kerjasama erat seluruh ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus memastikan setiap aspek perjalanan program berlangsung dengan teratur.

Jawatankuasa pengurusan majlis, pasukan teknikal, teknologi maklumat (IT), urus setia dan jawatankuasa program memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran setiap pengisian sepanjang muktamar.

Dalam masa yang sama, pasukan media bertanggungjawab merakam setiap detik penting serta menyiarkan perjalanan muktamar secara langsung menerusi platform Facebook Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor.

Siaran langsung itu membolehkan ahli-ahli Muslimat dan masyarakat mengikuti perkembangan muktamar walaupun tidak dapat hadir secara fizikal di Dewan Laman Harmoni ini.

Muktamar kali ini bukan sekadar menjadi platform membahaskan usul dan dasar organisasi, malah menjadi medan memperkukuhkan ukhuwah Islamiah, menyusun strategi perjuangan dan melahirkan barisan kepimpinan bersedia mendepani cabaran semasa.

Semangat kebersamaan dipamerkan seluruh perwakilan daripada 22 kawasan, disokong oleh petugas, sukarelawan dan pelbagai lapisan jentera parti membuktikan Dewan Muslimat terus kukuh sebagai sayap perjuangan yang dinamik dan berdaya saing.

Turut hadir adalah pimpinan daripada parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan juga badan bukan kerajaan (NGO). – HARAKAHDAILY 26/7/2026

- Advertisement -