
SHANDONG, China: Kerajaan Negeri Kedah terus memperkukuh hubungan kerjasama industri dan perdagangan antarabangsa menerusi lawatan kerja ke ibu pejabat dan kompleks pembuatan Prinx Chengshan Holdings Limited di Rongcheng, Weihai, di sini kelmarin.
Lawatan kerja ini merupakan sebahagian daripada Misi Pelaburan dan Perdagangan Kerajaan Negeri Kedah ke China bagi meninjau teknologi, operasi, serta keupayaan pengeluaran syarikat pembuatan tayar terkemuka berkenaan.
Delegasi Kedah diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah diiringi Ketua Pegawai Operasi Invest Kedah Berhad, Noor Ikhsan Abdul Aziz, bersama barisan pegawai Kerajaan Negeri.
Delegasi mengadakan tinjauan mesra ke Dewan Pameran, TBR Intelligent Manufacturing Workshop, 10 Million PCR Tire Workshop, serta Intelligent OTR Tire Factory bagi melihat secara dekat penggunaan teknologi automasi, sistem pembuatan pintar, kawalan kualiti dan pengurusan operasi bersepadu syarikat tersebut.
Mereka juga menghadiri sesi taklimat, dialog dan pertukaran pandangan di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Prinx Chengshan yang memfokuskan kepada perkembangan pelaksanaan projek Prinx Tire (Malaysia) Sdn Bhd di Kedah Rubber City, Padang Terap, serta rancangan kemasukan pembekal dan vendor.
Untuk rekod, Prinx Chengshan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Prinx Tire (Malaysia) Sdn Bhd, sedang membangunkan kemudahan pembuatan tayar berteknologi tinggi di Kedah Rubber City dengan nilai pelaburan mencecah RM2.6 bilion dalam tempoh 15 tahun.
Pelaburan berskala besar itu meletakkan syarikat berkenaan sebagai antara pelabur utama yang menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem industri getah dan pembuatan tayar di Kedah.
Kemudahan yang melibatkan kawasan binaan seluas kira-kira 213,000 meter persegi itu disasarkan beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun 2027 dengan dilengkapi teknologi Industri 4.0, sistem automasi termaju, proses pembuatan pintar, gudang pintar, serta pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Selain merangsang pertumbuhan ekonomi, projek ini dijangka mewujudkan kira-kira 1,056 peluang pekerjaan dengan keutamaan pengisian jawatan diberikan kepada tenaga kerja tempatan, di samping membawa limpahan ekonomi menerusi pemindahan teknologi dan penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan.
Mengulas mengenai potensi pelaburan tersebut, Dr Haim Hilman menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memudah cara pelaksanaan projek serta menggalakkan kemasukan rantaian pembekal dan vendor Prinx Chengshan ke Kedah.
“Kerajaan Negeri Kedah komited untuk terus memudah cara pelaksanaan projek Prinx Tire di Kedah Rubber City. Kita juga mengalu-alukan kemasukan pembekal, vendor dan rakan strategik Prinx Chengshan bagi membentuk ekosistem industri tayar dan produk berasaskan getah yang lebih lengkap di Kedah.
“Kerajaan Negeri mahu memastikan rakyat Kedah bukan sahaja mendapat peluang pekerjaan, tetapi turut diberikan latihan dan kemahiran yang membolehkan mereka mengisi jawatan teknikal, profesional serta berkemahiran tinggi dalam industri ini.
“Justeru, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, politeknik, kolej komuniti dan institusi TVET akan terus diperkukuh bagi membangunkan program latihan yang bersesuaian dengan keperluan sebenar industri,” katanya.
Beliau menambah bahawa siri lawatan tersebut turut dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempromosikan kelebihan Kedah sebagai destinasi pelaburan strategik serantau kepada rangkaian vendor syarikat berkenaan.
“Kita mahu pelaburan Prinx Chengshan memberikan impak yang lebih besar kepada Kedah. Selain pembangunan kilang utama, kita berharap pembekal dan vendor mereka juga akan memilih Kedah untuk menubuhkan operasi, sekali gus mewujudkan ekosistem industri yang kukuh, peluang pekerjaan berkualiti serta tenaga kerja tempatan yang mahir dan berdaya saing,” jelas beliau.
Sepanjang lawatan itu, delegasi Kerajaan Negeri telah disambut mesra oleh barisan kepimpinan tertinggi Chengshan Group dan Prinx Chengshan Holdings Limited, antaranya Pengerusi Chengshan Group Co Ltd, Che Hongzhi; Naib Presiden Chengshan Group Co Ltd, Shi Futao dan Presiden Eksekutif Prinx Chengshan Holdings Limited, Jiang Xiazhou.
Turut hadir meraikan delegasi ialah Pengurus Besar Prinx Tire (Malaysia) Sdn Bhd, Cao Kai; Pengurus Pejabat Lembaga Pengarah dan ESG, Leng Na; serta Pengurus Pentadbiran Prinx Tire (Malaysia) Sdn Bhd, Ting Sie Chuen.
Melalui Invest Kedah Berhad, Kerajaan Negeri Kedah akan terus menjalin kerjasama erat bersama pelbagai agensi, institusi pendidikan,
dan pihak berkepentingan bagi memastikan penyediaan infrastruktur, pembangunan modal insan, serta pembentukan rantaian bekalan industri berdaya tahan dapat direalisasikan demi kebaikan rakyat dan negeri Kedah. – HARAKAHDAILY 26/7/2026











