Apa yang sebenarnya telah diselesaikan?

Aminuddin dan Fahmi masih gagal menjawab isu pencerobohan tanah kerajaan

- Advertisement -

SAYA membaca kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, serta Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini berhubung dokumen dan aduan pencerobohan tanah kerajaan yang telah saya bangkitkan semalam.

Malangnya, kedua-dua kenyataan tersebut masih bersifat umum, sambil lewa dan lebih bertujuan melepaskan diri daripada menjawab persoalan sebenar. Saya tidak pernah mempersoalkan usaha membantu keluarga yang tinggal di kawasan setinggan. Kebajikan penduduk perlu ditangani secara adil dan berperikemanusiaan.

Meskipun begitu, isu kebajikan tidak boleh digunakan untuk menutup persoalan mengenai tadbir urus, penguatkuasaan undang-undang, kemungkinan campur tangan politik, dakwaan permintaan wang ‘settlement’ dan kemungkinan salah guna kuasa.

- Advertisement -

Datuk Seri Fahmi memaklumkan bahawa 12 rumah dikenal pasti menceroboh tanah kerajaan, sebahagiannya sedang diusahakan untuk pemindahan dan lima keluarga ditawarkan rumah mampu milik. Beliau turut mengakui bahawa keputusan bagi baki kes tertangguh dan perlu menunggu pembentukan kerajaan baharu selepas pilihan raya negeri. Kenyataan ini sendiri mengesahkan bahawa isu tersebut belum selesai.

Aduan dan arahan siasatan dibuat pada Julai 2022. Kini sudah Julai 2026. Empat tahun telah berlalu. Jika masih terdapat keputusan pentadbiran yang tertangguh, atas asas apakah Datuk Seri Aminuddin meminta rakyat ‘berterima kasih’ kerana kononnya kerajaan negeri telah menyelesaikan isu tersebut? Apakah sebenarnya yang sudah diselesaikan dan apakah yang masih belum selesai?

Alasan pembubaran DUN pada Jun 2026 juga tidak menjelaskan kelewatan sejak Julai 2022. Pembubaran DUN hanya berlaku hampir empat tahun selepas arahan siasatan dikeluarkan. Apakah tindakan yang diambil sepanjang tempoh itu? Berapa kali perkara ini dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, apakah keputusan yang dibuat dan mengapa pelaksanaannya tidak disempurnakan sebelum DUN dibubarkan?

Tawaran rumah kepada keluarga terlibat hanyalah satu aspek penyelesaian sosial. Ia bukan jawapan kepada dakwaan yang terkandung dalam dokumen berkenaan. Pemindahan penduduk tidak secara automatik menyelesaikan persoalan tentang siapa yang membenarkan keadaan itu berlarutan, sama ada terdapat pihak yang melindungi pencerobohan dan sama ada undang-undang telah dikuatkuasakan secara sama rata.

Rakyat mahu mengetahui hasil siasatan, status tanah, pihak yang membenarkan atau membantu pendudukan tersebut, kesahan bekalan utiliti serta sama ada terdapat unsur rasuah, salah guna pengaruh atau perlindungan politik.

Datuk Seri Aminuddin juga tidak perlu mengalih perhatian dengan bertanya bagaimana surat rasmi itu boleh bocor kepada umum. Persoalan kebocoran tidak lebih penting daripada kandungan surat dan hasil siasatan yang diarahkan. Sekiranya pentadbiran beliau telus, beliau hanya perlu mengesahkan ketulenan dokumen, membentangkan kronologi tindakan dan menjelaskan hasil siasatan. Tumpuan terhadap kebocoran surat tidak boleh menggantikan kewajipan menjawab kandungannya.

Oleh itu, disebabkan pengakuan tersirat Datuk Seri Aminuddin dan Datuk Seri Fahmi bahawa surat dan dokumen berkaitan itu adalah tulen, maka saya sekali lagi menuntut jawapan yang khusus dan bertulis terhadap persoalan berikut:

Pertama, adakah laporan siasatan yang diarahkan disiapkan dalam tempoh sebulan benar-benar telah disediakan? Jika ya, bilakah ia siap, siapa yang mengetuainya dan kepada siapa laporan itu dikemukakan?

Kedua, apakah dapatan penuh siasatan berhubung 12 rumah yang dikatakan menceroboh tanah kerajaan, termasuk status setiap lot dan tempoh pencerobohan?

Ketiga, adakah mana-mana pegawai kerajaan, ahli majlis, wakil rakyat atau pemimpin parti dipanggil untuk memberikan keterangan?

Keempat, apakah hasil siasatan terhadap dakwaan permintaan wang ‘settlement’, penyalahgunaan pengaruh dan campur tangan politik? Adakah perkara ini dirujuk kepada SPRM atau polis?

Kelima, mengapa tiada pendakwaan atau tindakan undang-undang diumumkan setakat ini sekiranya pencerobohan tanah kerajaan telah disahkan?

Keenam, benarkah terdapat dakwaan yang mengaitkan seorang atau beberapa ADUN DAP? Jika dakwaan itu tidak benar, nyatakan dengan jelas bahawa mereka telah dibersihkan. Jika terdapat asas, jelaskan tindakan yang telah diambil tanpa memilih bulu.

Ketujuh, apakah status baki rumah dan bilakah penyelesaian muktamad akan dilaksanakan?

Datuk Seri Aminuddin tidak boleh menjawab persoalan ini dengan menuduh pembangkang memainkan isu perkauman atau sekadar menyebut ‘DAP, DAP, DAP’. Saya membangkitkan DAP kerana dokumen yang tersebar dikatakan mengandungi dakwaan penglibatan wakil rakyat parti tersebut. Ini dakwaan serius yang wajib dijawab melalui hasil siasatan rasmi.

Lebih menghairankan, pemimpin DAP Negeri Sembilan terus berdiam diri. Mengapa mereka tidak tampil menafikan dakwaan secara jelas atau mendesak supaya laporan siasatan diumumkan? Sikap berdiam diri tidak membantu memulihkan keyakinan rakyat, sebaliknya menambahkan persoalan awam yang masih belum terjawab.

Kerajaan yang mendakwa membawa reformasi dan ketelusan mesti bersedia menjawab soalan-soalan yang ditanya, bukan hanya memuji tindakannya sendiri. Bagaimana rakyat mahu yakin kepada PH Negeri Sembilan jika persoalan mengenai aset kerajaan, penguatkuasaan undang-undang dan campur tangan politik tidak mampu dijawab?

Saya menegaskan bahawa isu ini bukan serangan terhadap mana-mana kaum atau keluarga miskin. Ini isu amanah, integriti dan kesaksamaan undang-undang. Seseorang pemimpin dan sesebuah kerajaan hanya dikira bertanggungjawab jika laporan siasatan diumumkan, pihak yang terlibat dikenal pasti dan tindakan undang-undang diambil ke atas apa-apa kesalahan.

USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan PAS Pusat
25 Julai 2026 – HARAKAHDAILY 25/7/2026

- Advertisement -