Yeoh alih perhatian guna retorik Titanic, tutup kegagalan PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat menilai sesebuah kerajaan berdasarkan prestasi, kejujuran, kestabilan serta keupayaannya menyelesaikan masalah kehidupan rakyat, bukannya melalui retorik atau perumpamaan politik.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi WAWASAN, Bibi Sunita Sakandar Khan sehubungan itu menempelak propaganda politik menerusi analogi ‘kapal Titanic’ yang sedang dimainkan pemimpin wanita DAP, Hannah Yeoh.

Menurut Bibi Sunita, gambaran Hannah yang menyamakan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PERIKATAN NASIONAL (PN) seperti kapal Titanic merupakan cubaan mengalih perhatian rakyat daripada isu lebih besar.

Iaitu katanya, berhubung kegagalan Pakatan Harapan (PH) dalam memenuhi pelbagai janji yang pernah ditaburkan sejak diberi mandat mentadbir Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan Kerajaan Negeri Sembilan.

Tegasnya, ketika Hannah menggunakan analogi Titanic, rakyat sendiri melihat bahawa yang semakin karam ialah kredibiliti PH apabila banyak janji masih gagal ditunaikan walaupun telah beberapa tahun menerajui kerajaan.

Menurut beliau, persefahaman BN-PN yang sedang dibina bukanlah berasaskan kepentingan individu, sebaliknya lahir daripada kesedaran bahawa negara memerlukan penyatuan lebih besar dalam kalangan parti.

Tegasnya, kerjasama sedang diadakan antara parti-parti terlibat adalah jerana mengutamakan kepentingan agama, bangsa, kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat mengatasi kepentingan politik sempit dibawa PH.

Tambahnya, kerjasama tersebut bukan berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya telah mula dizahirkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini sebelum diteruskan di Negeri Sembilan pada ketika ini.

Bahkan menurutnya lagi, jalinan tersebut dijangka diperluaskan pada PRN Melaka nanti, iaitu sebagai asas kepada penyatuan lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurut beliau  rakyat kini semakin matang dan memahami bahawa perpaduan antara parti-parti yang berkongsi matlamat menjaga kepentingan negara jauh lebih penting daripada mempertahankan ego politik.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan kritikan mengenai ‘politik persahabatan’ sebagai bersifat ironis memandangkan PH sendiri pernah melalui pelbagai episod perpecahan, termasuk pembubaran Pakatan Rakyat.

Termasuk katanya, pengunduran BERSATU daripada PH sebelum PRU15 dahulu, serta pertembungan sesama sendiri dalam beberapa pilihan raya sebelum kembali bekerjasama atas pertimbangan politik. – HARAKAHDAILY 24/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -