PRN N9: Jangan terlalu yakin, PN-BN perlu kerja keras

PH mungkin lakukan apa sahaja untuk pertahan kerusi

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Jentera PN dan BN diingatkan supaya tidak terlalu yakin meskipun kerjasama kedua-dua parti dilihat memberi kelebihan kepada gabungan itu, sebaliknya terus bekerja keras sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman berkata, situasi politik di Negeri Sembilan berbeza berbanding pilihan raya negeri lain kerana PH sedang mempertahankan kerajaan negeri yang diterajui mereka.

Menurut beliau, kedudukan itu menjadikan saingan lebih mencabar, sekali gus memerlukan Jentera PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) memperkukuhkan gerak kerja di semua peringkat.

“Kita tidak boleh terlalu yakin kerana kerajaan negeri sebelum ini diterajui PH (Pakatan Harapan). Sudah tentu mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kedudukan mereka.

“Namun, dengan kerjasama yang terjalin antara PN dan BN, peluang yang ada menjadi lebih baik dan memberikan kelebihan kepada kita,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pelancaran Laporan Aspirasi Kerjaya Di Negeri Terengganu, di sini semalam.

Ariffin berkata, perkembangan kerjasama antara PN dan BN sepanjang kempen juga menunjukkan petanda positif apabila kedua-dua pihak dilihat mampu bergerak seiring dalam pelbagai program yang diadakan.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat pada hari penamaan calon apabila penyokong serta jentera kedua-dua parti hadir memberikan sokongan di kawasan yang ditandingi PN.

“Malah, hampir setiap malam diadakan ceramah bersama yang menyaksikan pemimpin PN dan BN berkongsi pentas. Ini satu perkembangan yang sangat baik,” katanya.

Mengulas kemungkinan PH menggunakan pelbagai pendekatan untuk mempertahankan Kerajaan Negeri Sembilan, Ariffin berkata, perkara itu bukan luar biasa dalam mana-mana pertandingan politik yang sengit.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), berharap semua pihak dapat berkempen secara matang dan mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang tempoh pilihan raya.

“Paling penting, kita terus bergerak mengikut landasan betul dan fokus kepada usaha meyakinkan pengundi. Jika itu dapat dilakukan dengan baik, insya-Allah kita mempunyai peluang yang cerah di Negeri Sembilan,” katanya.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera bersama pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan.

Sebanyak 103 calon bertanding merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) PRN Negeri Sembilan ke-16.

SPR menetapkan tarikh pengundian awal pada 28 Julai ini, manakala hari mengundi adalah 1 Ogos. – HARAKAHDAILY 24/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -