
KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor pernah menyebut ‘Cina balik China, India balik India’ adalah tuduhan palsu, menghasut dan cukup berbahaya, tegas Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia yang juga Ahli Parlimen Alor Setar itu memandang serius tuduhan dibuat oleh Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan, terhadap Menteri Besar Kedah tersebut.
Menurut beliau, dakwaan dilemparkan tersebut memberi gambaran seolah-olah Muhammad Sanusi mahu menghalau rakyat Malaysia berdasarkan kaum, sekali gus melangkaui batas serangan politik biasa.
“Pemuda PAS menegaskan ucapan Muhammad Sanusi dalam sebuah ceramah di Jempol adalah berbeza daripada apa yang didakwa. Beliau tidak pernah menyebut atau mengarahkan masyarakat Cina ‘balik ke China’ dan masyarakat India ‘balik ke India’,” sangkalnya.
Jelas Afnan, penambahan perkataan ‘balik’, telah mengubah keseluruhan maksud ucapan berkenaan dan dianggap sebagai satu bentuk manipulasi yang boleh membangkitkan kemarahan, ketakutan serta ketegangan antara kaum.
Menurut beliau, demikian itu pihak Pemuda PAS berpandangan tindakan menyebarkan petikan yang didakwa tidak pernah diucapkan itu boleh mengajak rakyat untuk terus bertegang urat dan saling bermusuhan.
Jelasnya, Pemuda PAS turut menyatakan bahawa sekiranya dakwaan berkenaan dimasukkan dalam mana-mana laporan polis, perkara itu wajar turut disiasat sebagai kemungkinan pemberian maklumat palsu kepada pihak berkuasa.
Sehubungan itu katanya, Pemuda PAS mendesak Dr Sathia menarik balik tuduhan tersebut serta memohon maaf secara terbuka kepada Muhammad Sanusi dan rakyat Malaysia yang didakwa telah dikelirukan.
Tambah beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Pemuda PAS menggesa Kerajaan Negeri Kedah atau Muhammad Sanusi mempertimbangkan tindakan saman sivil terhadap pihak berkenaan.
“Tindakan tegas perlu diambil supaya budaya memutarbelitkan ucapan, mencipta fitnah dan melaga-lagakan kaum tidak terus menjadi senjata politik.
“Pemuda PAS akan terus memantau mana-mana pemimpin PKR dan DAP yang didakwa menggunakan sentimen perkauman sehingga boleh mencetuskan kebencian serta menjejaskan keharmonian negara,” katanya.
Sayap PAS itu turut memaklumkan akan membuat laporan polis terhadap penyebaran dakwaan tersebut bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat sama ada wujud unsur hasutan, penyebaran maklumat palsu atau perbuatan yang boleh mencetuskan permusuhan antara kaum.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar, berkata, pihaknya akan menggerakkan laporan polis secara besar-besaran terhadap Dr Sathia Prakash susulan tuduhan yang memutarbelitkan ucapan Muhammad Sanusi.
“Tindakan memanipulasi ucapan sehingga mengubah keseluruhan maksudnya bukan sahaja merupakan fitnah terhadap seorang pemimpin, malah berpotensi mencetuskan kebencian, permusuhan dan ketegangan antara kaum,” ujarnya.
Beliau berkata, perbuatan itu tidak boleh dipandang ringan dan wajar disiasat di bawah peruntukan undang-undang berkaitan penyebaran maklumat palsu, hasutan serta mana-mana kesalahan lain yang berkaitan.
Tambahnya, Pemuda PAS menyeru rakyat yang mencintai keamanan dan keharmonian negara agar membuat laporan polis bagi memastikan pihak menyebarkan fitnah serta mengapi-apikan sentimen perkauman disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.
“Pemuda PAS turut menegaskan bahawa perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk memfitnah atau membakar sentimen perkauman demi kepentingan politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2026











