
KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengangkat hakikat sejarah pembentukan negara dan asal-usul bangsa Melayu wajar difahami menerusi konteks sejarah serta kenegaraan.
Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman menyifatkan ucapan Menteri Besar Kedah itu dengan sengaja telah dipetik secara terpisah oleh pihak tertentu yang bertujuan mencetuskan polemik politik.
Katanya, kenyataan berkenaan sama sekali tidak bertujuan menafikan hak, kedudukan, mahupun taraf kewarganegaraan mana-mana kaum di Malaysia yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Sanusi menegaskan asas dan asal-usul serta identiti kenegaraan yang diingkari serta cuba dibuang pihak tertentu ketika berceramah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Khamis lalu.
Bagaimanapun satu petikan kecil daripada ucapannya menjadi kontroversi setelah dimanipulasi sebagai tuduhan bersikap perkauman dan kononnya mengusir serta menafikan hak kaum lain.
“Perlu ditegaskan bahawa kenyataan ini bukan sama sekali bertujuan menafikan hak, kedudukan atau taraf kewarganegaraan mana-mana kaum di Malaysia.
“Semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang etnik, adalah warganegara yang sah dan mempunyai hak serta tanggungjawab yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Prinsip ini tidak pernah dipersoalkan.
“Apa yang dibangkitkan ialah fakta sejarah. Dari perspektif sejarah dan antropologi, bangsa Melayu merupakan sebahagian daripada rumpun Melayu-Nusantara yang telah mendiami Alam Melayu sejak sekian lama.
“Pada masa sama, masyarakat Cina, India serta pelbagai etnik lain turut membawa sejarah, tamadun dan warisan leluhur masing-masing yang akhirnya membentuk wajah Malaysia yang kita kenali hari ini.
“Mengiktiraf hakikat sejarah ini bukanlah satu penghinaan kepada mana-mana pihak, sebaliknya merupakan pengiktirafan terhadap perjalanan sejarah negara,” katanya.
Ahmad Tarmizi turut meluahkan rasa kesal berhubung kewujudan dwistandard apabila kenyataan mengenai sejarah dan akar bangsa Melayu kerap disalah tafsir sebagai tindakan bersifat perkauman.
“Ironinya, apabila mana-mana kaum meraikan asal-usul, bahasa, budaya dan tanah leluhur mereka, ia dianggap sebagai manifestasi kepelbagaian yang memperkayakan negara.
“Namun apabila orang Melayu menyatakan sejarah dan akar bangsanya sendiri, ia sering disalah tafsir sebagai sesuatu yang bersifat perkauman atau dianggap sensitif.
“Standard yang berbeza seperti ini tidak membantu pembinaan sebuah negara yang matang dan yakin dengan sejarahnya sendiri,” jelas beliau.
Beliau turut mengingatkan bahawa undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan lahir daripada kompromi sejarah yang dipersetujui oleh para pengasas negara menjelang kemerdekaan.
“Dalam kerangka itulah kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan diperuntukkan melalui Perkara 3, Bahasa Melayu dimartabatkan sebagai Bahasa Kebangsaan melalui Perkara 152.
“Juga kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain dipelihara melalui Perkara 153, manakala kedaulatan Raja-Raja Melayu terus dipelihara melalui Perkara 181.
“Kesemua peruntukan ini wujud serentak dengan jaminan hak kewarganegaraan dan kesaksamaan di sisi undang-undang kepada semua rakyat Malaysia. Inilah asas keseimbangan yang membentuk negara kita,” ujarnya.
Justeru itu tegasnya lagi, mengiktiraf sejarah bangsa Melayu bukanlah bertentangan dengan semangat perpaduan, sebaliknya melengkapkan kefahaman terhadap asas pembinaan negara Malaysia.
Katanya, perpaduan yang kukuh tidak lahir dengan memadam sejarah, tetapi dengan memahaminya secara jujur, menghormati realiti Perlembagaan dan saling menghargai sumbangan setiap komuniti dalam membangunkan negara.
Tarmizi menambah, menjadi tanggungjawab setiap warganegara untuk mempertahankan kedaulatan serta memelihara keharmonian masyarakat majmuk tanpa dipengaruhi sentimen politik semasa.
Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Sik berkata, sebagai rakyat Malaysia, semua berkongsi tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara dan memelihara keharmonian masyarakat majmuk.
Selain itu, setiap rakyat juga peringat beliau, perlu memastikan generasi akan datang memahami sejarah negara dengan tepat, bukan melalui persepsi yang dipengaruhi sentimen politik semasa.
“Malaysia akan terus teguh apabila kita menghormati sejarahnya, mempertahankan Perlembagaannya dan memperkukuhkan perpaduannya.
“Menghormati identiti Melayu sebagai bangsa teras dalam sejarah pembentukan negara tidak pernah bermaksud menafikan hak kaum lain.
“Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada usaha memelihara asas kenegaraan yang telah dipersetujui sejak negara mencapai kemerdekaan, agar semua rakyat dapat terus hidup dalam suasana aman, adil dan saling menghormati.
“Perpaduan nasional tidak akan lahir dengan menafikan sejarah, tetapi dengan mengiktiraf kebenaran sejarah, menghormati Perlembagaan Persekutuan dan menghayati semangat saling menghormati antara semua kaum.
“Itulah semangat yang saya yakini turut ingin ditegaskan oleh YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan semangat itulah yang wajar kita pertahankan demi masa depan Malaysia,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 26/7/2026











