
GOMBAK: Di sebalik kemeriahan muktamar, satu lagi momen bermakna turut mencuri perhatian apabila tiga tokoh muslimat diraikan menerusi Anugerah Saidatina Asma’, Saidatina Aisyah dan Saidatina Khadijah.
Pengiktirafan ini bukan sekadar penghargaan terhadap individu, tetapi simbol penghormatan kepada seluruh wanita yang berjuang dalam pelbagai lapangan yakni keluarga, masyarakat, pendidikan dan medan dakwah.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri dengan diiringi Ketua Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan telah menyampaikan anugerah tersebut sempena Muktamar Tahunan Muslimat PAS Selangor Kali Ke-39, di sini hari ini.
Anugerah Tokoh Saidatina Asma’ diberikan kepada Normaziah Khori sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan, kecekalan, sumbangan serta pengorbanan beliau dalam perjuangan.
Mengambil inspirasi daripada Saidatina Asma’ Abu Bakar RA yang terkenal dengan keberanian, kebijaksanaan dan keteguhan jiwa, anugerah tersebut membawa mesej bahawa seorang pemimpin bukan dilahirkan untuk dihormati semata-mata, tetapi untuk terus berkhidmat dan memberi manfaat kepada ummah.
Sementara itu, Anugerah Saidatina Aisyah yang melambangkan ketokohan ilmuan moden melalui penguasaan ilmu, kepakaran profesional serta khidmat masyarakat dianugerahkan kepada Nurul Huda Mohd Shaary.
Pengiktirafan tersebut menyerlahkan peranan wanita berilmu sebagai aset penting dalam membina masyarakat, memperkasa pendidikan serta menyumbang kepakaran demi kepentingan ummah.
Manakala Anugerah Saidatina Khadijah yang mengangkat nilai kewibawaan, pengorbanan, kesetiaan sebagai ibu, suri hati serta pemimpin yang memahami denyut nadi rakyat dianugerahkan kepada Ustazah Mesripah Siraj.
Tokoh ini menjadi gambaran wanita yang terus memberi bakti dengan penuh ketabahan, membawa peranan besar dalam keluarga, masyarakat dan perjuangan. – HARAKAHDAILY 26/7/2026











