
GOMBAK: ‘Di bahu muslimat terletaknya harapan ummah’ menjadi mesej untuk golongan srikandi Islam untuk terus memperkukuh peranan sebagai penggerak dakwah, tarbiah dan perjuangan dalam masyarakat.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyampaikan amanat penuh penghayatan itu kepada para mujahidah agar terus menjadikan al-Quran sebagai panduan dan perisai dalam mendepani cabaran kehidupan.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengajak seluruh muslimat agar sentiasa memohon kekuatan daripada Allah SWT serta memperbanyakkan doa kerana doa merupakan senjata utama orang-orang yang beriman.
Beliau mengingatkan bahawa setiap langkah perjuangan perlu berpaksikan kebergantungan kepada Allah SWT, di samping berusaha menjadi golongan yang berjaya bukan sahaja di dunia, bahkan memperoleh kejayaan di akhirat.
“Jadikanlah kita golongan yang berjaya di dunia dan di hari akhirat. Peganglah ayat-ayat Allah ini menjadi perisai dalam kehidupan kita yang sementara ini,” ujar beliau dalam Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor Kali Ke-39.
Menurut beliau, keteguhan para pejuang Islam terdahulu termasuk perjuangan Rasulullah SAW dan para Sahabat RA perlu menjadi contoh kepada seluruh muslimat dalam meneruskan amanah perjuangan.
Katanya, kejayaan yang dikurniakan Allah kepada Nabi Muhammad SAW dan para pejuang Islam terdahulu bukan datang dengan mudah, sebaliknya melalui pengorbanan, kesabaran dan keyakinan yang tinggi terhadap pertolongan Allah SWT.
“Semoga kita termasuk dalam golongan orang yang berjaya seperti mana yang telah Allah kurniakan kepada Nabi kita Muhammad SAW dan para pejuang Islam yang terdahulu,” katanya.
Dalam amanat tersebut, Ustazah Nuridah turut menyeru agar muslimat terus mendekati masyarakat menerusi pelbagai program yang mampu memberikan kefahaman mengenai Islam serta perjuangan politik Islam.
Beliau menegaskan usaha mendekati masyarakat perlu diteruskan supaya kefahaman terhadap Islam sebagai ‘the way of life’ dapat disampaikan dengan lebih meluas, bukan hanya sebagai pegangan ibadah semata-mata.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan penguasaan ilmu dalam kalangan muslimat kerana cabaran semasa memerlukan barisan kepimpinan wanita yang berpengetahuan, matang dan mampu memberikan penyelesaian kepada masyarakat.
“Teruslah menuntut ilmu dalam pelbagai bidang. Begitu juga dengan mendalami ayat-ayat Allah SWT kerana kita tidak pernah mengetahui bilakah saat kita akan dipanggil kembali kepada-Nya,” pesannya.
Beliau turut mengingatkan para muslimat supaya sentiasa bermuhasabah bahawa setiap kebaikan yang dilakukan sebenarnya akan kembali memberi manfaat kepada diri sendiri, manakala setiap keburukan juga akan memberi kesan kepada diri sendiri.
Justeru, beliau menyeru agar seluruh muslimat menjadikan perjuangan sebagai medan amal ibadah yang dilakukan dengan penuh keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah.
Amanat tersebut menjadi suntikan semangat kepada seluruh perwakilan dan pemerhati yang hadir untuk terus memperkukuh saf perjuangan, memperkasa gerak kerja organisasi serta meneruskan khidmat kepada masyarakat selagi diberikan kudrat oleh Allah SWT. – HARAKAHDAILY 26/7/2026











