
KOTA BHARU: Kelantan Gold Trade Sdn Bhd (KGT) telah melancarkan syiling Perak 5 Dirham dan 10 Dirham edisi baharu sebagai komitmen memperkasa ekosistem emas dan perak negara.
Pelancaran itu juga bagi menawarkan produk berkualiti yang memenuhi keperluan simpanan dan pelaburan masa kini kepada masyarakat, maklum Pengurus Besar KGT, Wan Muhammad Najahuddin Wan Fuad.
Menurutnya, pelancaran kedua-dua syiling berkenaan membuktikan iltizam syarikat untuk terus menghasilkan produk yang bukan sahaja bernilai sebagai aset fizikal, malah menjadi simbol warisan kekal relevan dengan keperluan kewangan semasa.
“Pelancaran 5 Dirham dan 10 Dirham edisi baharu ini membuktikan komitmen KGT untuk terus menawarkan produk berkualiti yang bukan sahaja bernilai sebagai aset fizikal malah menjadi simbol warisan yang relevan dengan keperluan kewangan masa kini,” katanya.
Tambah beliau, penyertaan KGT pada Invest Fair 2026 bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan pelaburan emas dan perak sebagai instrumen simpanan untuk masa depan.
“Dalam keadaan ekonomi yang sentiasa berubah, memiliki aset bernilai seperti emas dan perak merupakan satu langkah bijak untuk melindungi nilai kekayaan serta membina simpanan jangka panjang,” ujarnya.
Pelancaran syiling tersebut diadakan sempena penyertaan KGT pada Invest Fair 2026 yang berlangsung di Mid Valley Exhibition Centre, Mid Valley Megamall pada 18 hingga 20 Julai lalu.
Sepanjang pameran itu, reruai KGT menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang ingin mendapatkan maklumat mengenai produk simpanan dan pelaburan berasaskan emas serta perak.
Pengunjung turut berpeluang mengenali ekosistem simpanan emas dan perak sama ada dalam bentuk digital mahupun fizikal yang ditawarkan KGT, selain mendapatkan khidmat konsultasi berkaitan pengurusan aset jangka panjang.
Tambahnya, penyertaan dalam pameran itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat memperluaskan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memiliki aset bernilai sebagai instrumen simpanan masa depan.
“Usaha tersebut selari dengan cetusan idea penubuhan KGT oleh Almarhum Tan Sri Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menggalakkan rakyat menjadikan emas dan perak sebagai instrumen simpanan serta sebahagian daripada perancangan kewangan jangka panjang,” katanya lagi.
Sambungnya lagi, KGT merakamkan penghargaan kepada semua pengunjung, rakan strategik dan pihak penganjur atas sokongan yang diberikan sepanjang Invest Fair 2026.
“Sokongan berterusan menjadi pemangkin untuk KGT terus memperkukuh peranannya dalam membudayakan simpanan emas dan perak sebagai aset masa depan rakyat Malaysia,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/7/2026











