Karnival Buku dan Semarak Jawi Zon Timur 2026

Terengganu tuan rumah

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu dipilih sebagai tuan rumah Karnival Buku dan Semarak Jawi 2026 Zon Timur, sekali gus memperkukuh usaha memartabatkan budaya membaca serta memperluaskan agenda pembangunan ilmu dalam kalangan masyarakat.

- Advertisement -

Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Ridzuan Hashim berkata, pemilihan itu turut memperkukuh hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam menjayakan program berasaskan pendidikan serta literasi pada peringkat kebangsaan.

Katanya, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Kerajaan Negeri Terengganu dan semua pihak yang memberikan sokongan sejak awal perancangan program berkenaan.

“Usaha kolaboratif ini merupakan satu langkah yang amat signifikan dalam mempromosikan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, selaras dengan pelaksanaan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2021–2030.

“Ia mengangkat aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara membaca menjelang tahun 2030 serta melahirkan masyarakat berilmu dan bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Karnival Buku dan Semarak Jawi 2026, di sini hari ini.

Ridzuan berkata, bagi memastikan karnival itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat, beberapa program promosi telah dilaksanakan lebih awal termasuk pertandingan Street Soccer 3 on 3 yang berjaya menghimpunkan 26 pasukan.

Katanya, program Run Walk @ Jambatan Angkat Kuala Terengganu sejauh lima kilometer turut menerima sambutan memberangsangkan yang disertai kira-kira 1,000 peserta berdaftar.

“Program tersebut diserikan dengan penyediaan cendol dan pelbagai makanan tempatan, sekali gus menjadi satu keunikan yang mempromosikan lokasi ikonik negeri kepada peserta dan pengunjung,” ujarnya.

Beliau turut menghargai sokongan berterusan daripada rakan strategik, SMO Bookstores yang telah bersama PPAT selama tiga tahun dalam menjayakan pelbagai program berkaitan pembacaan dan literasi.

Menurutnya, kempen promosi kali ini turut dibantu beberapa tokoh anak jati Terengganu termasuk jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang; pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Harif Saleh; Tengku Ali Sulaiman; Ayi Lantana dan atlet muda, Izatul Musfirah Ahmad Kamal.

Dalam pada itu, Ridzuan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading berkata, perpustakaan kini memainkan peranan lebih luas sebagai pusat komuniti yang menyediakan ruang pembelajaran, pembangunan diri dan aktiviti keluarga.

“Perpustakaan bukan lagi sekadar tempat membaca, malah berperanan sebagai pusat komuniti dan rumah kedua yang selamat serta kondusif untuk masyarakat.

“Kami mahu perpustakaan menjadi lokasi pilihan keluarga bagi menjalankan aktiviti yang bermanfaat dan membina budaya ilmu dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata, PPAT turut mengendalikan Pusat Bahasa Terengganu yang menawarkan pelbagai kursus bahasa antarabangsa seperti Itali, Jerman, Korea, Turki, Arab, Perancis dan Jepun.

Katanya, pusat berkenaan pernah menerima pengiktirafan pada World Library and Information Congress (IFLA) 2019 dan berpotensi menjadi pemangkin kepada peningkatan penguasaan bahasa dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau mengajak sektor kerajaan, swasta dan individu untuk menjalinkan kerjasama dengan Pusat Bahasa Terengganu bagi memperkasakan kemahiran bahasa yang dilihat sebagai nilai tambah penting dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Kemahiran bahasa merupakan nilai tambah yang sangat penting, khususnya dalam meningkatkan daya saing generasi muda pada masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2026

- Advertisement -