
KUALA LUMPUR: Kesepakatan yang terjalin antara PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan telah meresahkan pihak yang selama ini mahu melihat orang Melayu terus berpecah.
Presiden Muafakat National (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, terdapat pihak yang menyangka mereka telah berjaya memecah-belahkan perpaduan orang Melayu sehingga sukar untuk disatukan semula.
Menurut beliau, ada juga kelompok yang berpolitik berasaskan pemujaan individu dan tidak mengutamakan agenda penyatuan orang Melayu, sebaliknya lebih cenderung mengekalkan perpecahan sama ada di peringkat dalaman mahupun luaran.
“Apabila pemimpin BN dan PN berjaya mencapai kesepakatan, sudah tentu ada pihak yang berasa terancam kerana mereka tidak lagi boleh bergantung kepada politik perpecahan.
“Kesepakatan BN dan PN merupakan satu ‘game changer’ berskala besar yang mampu mengubah landskap politik negara. Ia adalah impian rakyat yang kini mula menjadi kenyataan,” katanya.
Menurut pemimpin berpengalaman dalam Umno dan kini bersama PAS itu, kesepakatan tersebut lahir daripada kehendak rakyat dan akar umbi yang mahukan kestabilan politik serta penyatuan orang Melayu.
Menurutnya, pemimpin kedua-dua gabungan sanggup mengetepikan ego dan kepentingan parti demi mengutamakan muafakat serta kepentingan rakyat.
“Kesepakatan ini akan terus berkembang dan semakin mendapat sambutan rakyat. Ia adalah kemenangan rakyat, lahir daripada kehendak rakyat dan untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat yang mahukan perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan negara supaya keluar mengundi beramai-ramai pada 1 Ogos.
“Saya menyeru seluruh rakyat supaya menunaikan tanggungjawab pada 1 Ogos dengan memberikan sokongan kepada calon-calon PN dan BN demi memastikan agenda muafakat ini dapat diteruskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2026











