
SEREMBAN: PERIKATAN NASIONAL (PN) tampil dengan 14 tawaran tambahan menerusi manifesto gabungan itu yang akan melengkapkan Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026.
Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, persefahaman muafakat politik antara PN dan BN dibina selepas kedua-dua gabungan menyedari besarnya amanah untuk mengembalikan kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada Negeri Sembilan.
“Menyedari besarnya amanah untuk mengembalikan kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada Negeri Sembilan, maka satu persefahaman muafakat politik telah dibina antara PERIKATAN NASIONAL dan Barisan Nasional bagi menghadapi pilihan raya Negeri Sembilan 2026.
“Persefahaman ini lahir daripada iltizam baharu yang lebih kukuh dengan penuh semangat persaudaraan dan persefahaman, kematangan politik dan kesungguhan untuk meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala perbezaan yang lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Manifesto PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan, di di Kompleks PAS Negeri Sembilan (KOMPAS), Kampung Ampangan, di sini malam tadi.
Beliau turut memaklumkan, kedua-dua gabungan melalui siri perbincangan terbuka, konstruktif dan penuh tanggungjawab telah meletakkan kepentingan rakyat pelbagai bangsa dan agama di Negeri Sembilan sebagai keutamaan.
“Maka kami (BN-PN) telah menyelaraskan aspirasi serta mencari titik persamaan demi masa depan Negeri Sembilan,” ujar beliau yang juga Menteri Besar Terengganu.
Naib Presiden PAS itu menegaskan, PN akan berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan setiap komitmen yang digariskan demi kesejahteraan seluruh warga Negeri Sembilan.
“Ayuhlah kita melangkah bersama berganding bahu membina harapan baharu dan mencipta masa depan yang lebih gemilang,” serunya yang juga Ahli Parlimen Kemaman,
Ahmad Samsuri berkata, Manifesto PN yang membawa slogan dan moto ‘Berwawasan dan Rasional’ mengandungi enam teras utama dengan 14 tawaran tambahan.
Bagi teras pertama iaitu pentadbiran, beliau menyatakan PN menawarkan pembangunan ‘dashboard’ pelaksanaan Manifesto Negeri Sembilan bagi memantau pelaksanaan dari semasa ke semasa, selain penambahbaikan sistem pengurusan dan pentadbiran masjid yang lebih mesra kariah.
Dalam teras kedua membabitkan belia dan keluarga, Ahmad Samsuri menerangkan PN mencadangkan penyediaan rumah transit belia untuk graduan serta pasangan baharu berkahwin, selain pelaksanaan program pemerkasaan keluarga mawaddah.
Bagi teras ketiga berkaitan ekonomi, beliau menggariskan tiga tawaran iaitu penerokaan dan pembangunan pelan ekonomi biru Negeri Sembilan, penaiktarafan infrastruktur sokongan industri gas dan minyak serta pembangunan pakej pelaburan baharu dalam sektor mineral kritikal, semikonduktor, aeroangkasa, EV, logistik dan ekonomi digital.
“Ini bukan minyak Turkmenistan di Negeri Sembilan ini,” jelasnya secara berseloroh ketika menjelaskan cadangan berkaitan industri gas dan minyak.
Bagi teras keempat iaitu kebajikan, Ahmad Samsuri memaklumkan PN menawarkan pemberian bantuan prihatin rakyat dengan sasaran keluarga B40 dan M40 berkomitmen tinggi serta golongan berpendapatan rendah.
Selain itu, beliau menyebut PN turut mencadangkan penyaluran dana sokongan khas kebajikan dan hal ehwal bukan-Islam.
Dalam teras kelima berkaitan pendidikan, Ahmad Samsuri menghuraikan PN menawarkan penaiktarafan Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) berteraskan TVET, pendidikan gunaan, pendidikan industri dan inovasi.
Beliau turut menyatakan cadangan pemerkasaan sekretariat TVET negeri dengan program Tahfiz TVET serta bantuan persijilan profesional kepada graduan Negeri Sembilan.
“Special tu orang Negeri Sembilan,” kata beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.
Bagi teras keenam iaitu pekerjaan, Ahmad Samsuri menekankan isu pekerjaan sebagai perkara penting kerana berkait rapat dengan sumber pendapatan rakyat.
“Isu pekerjaan adalah merupakan isu yang sangat penting, menjadi ‘bread and butter’ kepada setiap rakyat di sesebuah negeri dan dalam negara kita,” ulasnya.
Beliau menerangkan PN mencadangkan penubuhan Negeri Sembilan Talent Corporation (NTC) sebagai pusat pembangunan bakat dan kepakaran masa depan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau, semikonduktor, keselamatan siber, ekonomi digital dan automasi termaju.
Selain itu PN katanya, turut mengemukakan cadangan penubuhan Pusat Padanan Pekerjaan Negeri Sembilan untuk sektor pelancongan dan industri terkini.
Mengulas hubungan antara manifesto PN dan BN, Ahmad Samsuri menjelaskan, 14 tawaran tambahan itu akan dicampur bersama Manifesto BN yang telah dibentangkan sebelum ini sebagai manifesto bersama.
“(Semua) 14 tawaran tambahan ini adalah dicampur dengan Manifesto Barisan Nasional yang telah dibentangkan dan ia wujud sebagai manifesto bersama.
“Saya percaya dalam Manifesto Barisan Nasional telah memperincikan pelbagai perkara, puluhan inisiatif yang bakal dilaksanakan sekiranya muafakat PERIKATAN NASIONAL, Barisan Nasional diberi amanah pada 1 Ogos dalam pilihan raya Negeri Sembilan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2026












