Manifesto PN lengkapkan tawaran BN tadbir N9

Kedua-dua manifesto PN BN boleh digunakan sepanjang kempen calon PN

- Advertisement -

SEREMBAN: Manifesto PERIKATAN NASIONAL (PN) merupakan pelengkap kepada Manifesto Barisan Nasional (BN) dalam membentuk model muafakat untuk mengurus tadbir Negeri Sembilan sekiranya gabungan itu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

- Advertisement -

Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, Manifesto BN yang dibentangkan sebelum ini mempunyai asas tersendiri, manakala Manifesto PN pula memberi tumpuan kepada ruang yang tidak dinyatakan dalam tawaran BN.

“Manifesto yang dirangka oleh PERIKATAN NASIONAL merupakan pelengkap kepada manifesto yang telah dilancarkan oleh Barisan Nasional malam tadi.

“Kerana inilah model kita, muafakat untuk mengurus tadbir Negeri Sembilan ini, insya-Allah,” ujar beliau dalam sidang media selepas pelancaran Manifesto PN Negeri Sembilan, di Kompleks PAS Negeri Sembilan (KOMPAS), Kampung Ampangan, di sini malam tadi.

Mengulas kenyataan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan bahawa Manifesto BN berdiri sendiri dan tidak melibatkan mana-mana gabungan komponen, Ahmad Samsuri berkata perkara itu mempunyai asasnya.

“Manifesto Barisan Nasional dibentangkan oleh Barisan Nasional ada asasnya. Apa yang kita bentangkan pada malam ini adalah ruang-ruang yang tidak disebut dalam Manifesto Barisan Nasional.

“Itu yang saya katakan sebagai melengkapkan keseluruhan manifesto yang akan dilaksanakan sekiranya muafakat Barisan Nasional-PERIKATAN NASIONAL mengambil alih Kerajaan Negeri Sembilan,” jelasnya.

Ditanya sama ada PN akan menyokong Manifesto BN sepanjang tempoh kempen PRN Negeri Sembilan, beliau memaklumkan kedua-dua pihak akan bergerak bersama.

‘We will be together with them’,” ujar Menteri Besar Terengganu yang juga Ahli Parlimen Kemaman itu secara ringkas.

Mengenai penggunaan manifesto ketika kempen sama ada calon PN akan membawa manifesto sendiri atau manifesto gabungan BN-PN, beliau menyatakan kedua-duanya boleh digunakan.

Mengulas mengenai manifesto yang tidak memperincikan angka tertentu termasuk kos atau sasaran pelaburan, Ahmad Samsuri menjelaskan manifesto bukan dokumen lengkap seperti rancangan pembangunan yang memerlukan perincian angka secara menyeluruh.

“Kita kena faham manifesto bukannya Rancangan Malaysia yang penuh dengan angka-angka, tetapi ia adalah apa yang akan kita lontarkan kepada rakyat.

“Sudah tentu di peringkat pasukan yang merangka manifesto sama ada di pihak Barisan Nasional ataupun di pihak PERIKATAN NASIONAL, kita telah melalui semua angka-angka dan tidak ada keperluan untuk kita bentangkan angka sebab ia akan jadi panjang,” tegasnya.

Beliau menambah, perkara utama adalah memastikan mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat dapat difahami dengan mudah.

“Yang mustahak kepada kita ialah apa yang ingin kita sampaikan dalam bahasa yang mudah kepada rakyat supaya rakyat boleh faham,” jelasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Ditanya sama ada perkara itu sudah dibincangkan bersama BN sebagai pelengkap kepada manifesto masing-masing, Ahmad Samsuri memaklumkan penyelarasan antara kedua-dua pihak telah dilakukan. – HARAKAHDAILY 26/7/2026

- Advertisement -