PN tiada halangan untuk Sanusi turun berkempen di N9

Pecat parti BERSATU bukan kuasa Pengerusi PN

- Advertisement -

SEREMBAN: PERIKATAN NASIONAL (PN) tidak mempunyai halangan sekiranya Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor turun berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

- Advertisement -

Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehadiran Muhammad Sanusi bergantung kepada kemampuan beliau selepas mengambil kira tanggungjawab sebagai Menteri Besar Kedah.

Menurut Samsuri, pandangan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kesesuaian Muhammad Sanusi berkempen di Negeri Sembilan diambil maklum.

“Itu pandangan daripada beliau sebagai Pengerusi Barisan Nasional. Kita ambil maklum dan saya percaya bergantung kepada Dato’ Seri Sanusi sama ada beliau dapat datang atau tidak selepas daripada ini.

“Kerana sama dengan saya, beliau juga adalah Menteri Besar. Selain daripada berkempen politik, kita masih lagi ada tugas di negeri. Jadi kalau dia dapat datang, dia datanglah.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas pelancaran manifesto PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan di Kompleks PAS Negeri Sembilan (KOMPAS), Kampung Ampangan, di sini malam tadi.

Ditanya sama ada beliau bimbang pendekatan kempen Sanusi boleh menjejaskan sokongan pengundi Melayu dan Cina, Ahmad Samsuri menjelaskan, perkara utama adalah memahami perkara sebenar yang disampaikan oleh pemimpin itu.

“Saya rasa perkara yang paling kita kena jelas ialah apa sebenarnya yang disebut oleh beliau, Dato’ Seri Sanusi.

“Dan pada siang tadi, Dato’ Seri Sanusi sudah maklum, bahawa beliau akan menyaman mana-mana pihak yang memesongkan fakta yang disebut oleh beliau. Jadi tengoklah nanti,” ujarnya.

Mengenai sama ada PN mempunyai halangan sekiranya Muhammad Sanusi mahu terus turun berkempen di Negeri Sembilan, Ahmad Samsuri menegaskan tiada sekatan dikenakan terhadap mana-mana pihak.

“Kita tidak ada halangan. Tidak ada sebarang ‘gag order’ kepada sesiapa pun,” jelas Menteri Besar Terengganu yang juga Ahli Parlimen Kemaman itu.

Sementara itu, mengulas kenyataan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard bahawa BERSATU mungkin dipecat daripada PN, Ahmad Samsuri menegaskan perkara itu bukan di bawah bidang kuasanya sebagai pengerusi gabungan berkenaan.

“Itu bukan kuasa saya sebagai Pengerusi. Itu adalah kuasa bersama muafakat dalam PERIKATAN NASIONAL. Kita tengoklah nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2026

- Advertisement -