
KUALA LUMPUR: “Kerjasama ini menjadi bukti bahawa anak muda PAS dan Umno bersedia mengetepikan perbezaan lama, membina persefahaman baharu dan bergerak bersama demi masa depan politik negara yang lebih baik,” tegas Khairul Nadzir Helmi Azhar.
Menurut beliau, pertemuan antara Dewan Pemuda PAS dan Pergerakan Pemuda Umno menjadi satu lagi langkah penting ke arah memperkukuh kerjasama politik anak muda, dengan fokus utama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Katanya, kerjasama bagi PRN Negeri Sembilan itu merupakan permulaan kepada gerak kerja yang lebih tersusun dan menyeluruh, namun persefahaman antara kedua-dua pihak sebenarnya telah mula dibina lebih awal menerusi pertemuan dalam sebuah sesi ‘podcast‘ sekitar setahun lalu.
Ketua Penerangan Pemuda PAS itu berkata demikian dalam satu kenyataan berhubung komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuh kerjasama politik kedua-dua pihak, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, hari ini.
Beliau memaklumkan, sebagai persediaan menghadapi pilihan raya tersebut, kedua-dua pihak bersetuju membentuk sebuah jawatankuasa bersama bagi menyelaras gerak kerja anak muda, susulan pertemuan semalam.
“Jawatankuasa itu akan memberi tumpuan kepada usaha menggerakkan pengundi muda supaya keluar menunaikan tanggungjawab mengundi di samping memberikan sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN),” ujarnya.
Menurut Nadzir, kerjasama berkenaan bukan bersifat sementara atau hanya tertumpu kepada PRN Negeri Sembilan semata-mata, sebaliknya menjadi sebahagian daripada persediaan menghadapi siri pilihan raya akan datang sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Pemuda PAS turut berkongsi tekad untuk menyatukan kekuatan anak muda bagi menyekat Pakatan Harapan (PH)-DAP daripada terus berkuasa serta memastikan sebuah pentadbiran yang lebih stabil, berprinsip dan mengutamakan kepentingan rakyat dapat dibentuk.
“Sebagai langkah awal, Pemuda PAS dan Pemuda Umno akan bersama-sama menyertai siri jelajah di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula Ahad ini,” jelasnya.
Menurut beliau, jelajah itu akan menjadi medan untuk mendekati pengundi muda, menyampaikan hala tuju kerjasama PN-BN serta membangkitkan kesedaran mengenai kepentingan keluar mengundi.
Tambahnya lagi, sebelum berakhirnya tempoh kempen PRN Negeri Sembilan, kedua-dua sayap parti itu juga akan mengumumkan penganjuran sebuah pentas anak muda berskala besar yang menghimpunkan kekuatan serta suara generasi muda. – HARAKAHDAILY 25/7/2026











