‘Saya tak kata apa yang hangpa kata’ – Sanusi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah terhadap mana-mana individu cuba memutar belit kenyataannya untuk kepentingan politik.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat yang juga Menteri Besar itu berkata, perkara tersebut dilihat sengaja digembar-gemburkan untuk meraih keuntungan politik serta memburukkan dirinya.

“Saya akan membuat laporan polis dan tindakan undang-undang. Jangan cuba memesongkan fakta. Apa yang saya sebut adalah fakta dan bukannya rekaan saya sendiri.

“Boleh ‘check’ mana-mana buku sejarah. Saya tidak sebut benda yang tidak ada dan saya juga tidak tujukan kepada sesiapa. Saya kata bab sejarah. Takkan tak faham,” jelas beliau.

Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Karnival Kebajikan Haiwan, Himpunan Lembu Sado Malaya dan Sambutan World Rabies Day, Peringkat Negeri Kedah di Suka Menanti, di sini hari ini.

Tambah beliau, sejarah tidak pernah menimbulkan ketegangan, sebaliknya ia perlu diketahui serta dipelajari untuk mengetahui kejadian masa, di samping memahami apa yang terjadi pada masa kini.

“Saya cakap lain. Mereka kata benda lain, yang mereka kata saya kata. Saya tak kata, apa yang dia kata saya kata,” ulas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.

Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu, dikritik oleh pihak tertentu kononnya ceramah beliau di Jempol, Negeri Sembilan, baru-baru ini, berbaur perkauman dan bersifat hasutan.

Sedangkan antara perkara yang disentuh olehnya pada ceramah tersebut adalah mengenai sejarah Tanah Melayu dan kedudukan orang Melayu yang semakin terhakis dari aspek ekonomi serta politik.

Sementara berkaitan video tular kononnya ada pihak akan membuat laporan polis berhubung ucapannya itu, Sanusi menegaskan, pihaknya juga akan membuat tindakan sama kerana memesongkan kenyataannya.

“Saya tak kenal orang tu, mereka tak popular….kalau nak cari populariti atas video-video macam tu, apa benda?.. Benda orang tak kata, hangpa (kamu) kata orang tu kata. Tak betul tu.Cakap benda betul sudahlah.

“Ucapan saya jelas dan berbutir serta berterus-terang. Saja mereka nak memanupulasi. Ambil sekerat, tambah sendiri. Lepas tu buat isu.
Bagi saya tak perlu takut kepada sesiapa selagi mana berada di landasan yang betul.

“Orang yang dok takut ni pasal dia tak betul. Resah, gelisah takut kalah,” bidas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 25/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -