Melayu-Islam memimpin: Fitrah bangsa, amanah siasah dan keadilan untuk semua

- Advertisement -

PENDAHULUAN

Perbahasan mengenai kedudukan Melayu-Islam dalam kepimpinan Malaysia sering terperangkap antara dua kutub iaitu menganggap perjuangan bangsa sebagai perkauman, atau mengangkat bangsa sehingga mengatasi agama, keadilan dan kemanusiaan. Kedua-duanya tidak menggambarkan tasawur Islam secara menyeluruh.

Islam tidak datang untuk menghapuskan mana-mana bangsa, keturunan, bahasa dan kebudayaan. Semua itu merupakan sebahagian daripada sunnatullah. Namun Islam menetapkan neraca yang jelas iaitu bangsa adalah wadah, aqidah adalah roh dan pedoman, kuasa adalah wasilah, keadilan dan keredaan Allah itulah tujuan.

Apabila kekuatan bangsa digunakan untuk menindas pihak lain atau mempertahankan kezaliman kelompok sendiri, ia berubah menjadi ‘asabiyyah yang tercela. Sebaliknya, apabila kekuatan sesuatu bangsa digembleng untuk menegakkan agama, memelihara keamanan, membela keadilan dan menaungi masyarakat seluruhnya, ia menjadi sebahagian daripada amanah istikhlaf manusia di muka bumi.

- Advertisement -

Dalam kerangka inilah persoalan kepimpinan Melayu-Islam di Malaysia harus difahami. Kepimpinan Melayu-Islam bukan tuntutan keistimewaan untuk berada di atas bangsa lain. la adalah amanah sejarah untuk memelihara identiti negara, menegakkan Islam dan menghadirkan keadilan yang dapat dirasakan oleh seluruh rakyat.

Malaysia ialah tanah air bersama semua warganegaranya. Namun Malaysia juga bukan negara yang lahir tanpa sejarah, akar dan watak peradaban. la berkembang daripada pemerintahan kesultanan-kesultanan Melayu, institusi Raja-raja Melayu, kedudukan Islam dan bahasa Melayu, kemudian diperkaya melalui pembentukan Malaysia bersama Sabah dan Sarawak.

Bangsa sebagai fitrah, bukan ‘asabiyyah

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa dan bersuku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.” (Surah al-Hujurat: 13)

Ayat ini membina asas penting politik Islam dalam masyarakat majmuk. Bangsa tidak diperintahkan supaya dihapuskan, yang ditolak ialah apabila identiti bangsa menjadi asas kesombongan, penindasan dan permusuhan. Bahkan perbezaan bahasa dan warna kulit disebut sebagai tanda kebesaran Allah dalam Surah al-Rum ayat 22.

Islam tidak menuntut seorang Melayu berhenti menjadi Melayu untuk menjadi Muslim yang baik, sebagaimana bangsa lain tidak perlu meninggalkan identiti etnik masing-masing. Sebaliknya, Islam mendidik identiti bangsa supaya tunduk kepada aqidah, akhlak dan keadilan.

Tanggungjawab manusia pula berkembang daripada lingkungan terdekat kepada lingkungan yang lebih luas. Allah memerintahkan orang beriman memelihara diri dan keluarga daripada api neraka (al-Tahrim: 6), Rasulullah SAW diperintahkan memberi peringatan kepada kerabat terdekat (al-Syu’ara’: 214), sementara para Rasul diutus dengan bahasa kaum masing-masing agar risalah dapat difahami (Ibrahim: 4).

Namun dakwah tidak berhenti pada keluarga atau bangsa. Rasulullah SAW bermula dalam lingkungan masyarakat Arab, tetapi risalah Baginda melampaui kabilah, bangsa dan benua. Islam tidak menjadi ‘agama Quraisy’, sebaliknya kekuatan masyarakat Arab menjadi antara wahana awal penyebaran risalah sejagat.

Demikian juga hubungan Melayu dengan Islam iaitu Melayu menjadi pendukung Islam, bukannya Islam dipersempitkan menjadi hanya milik orang Melayu.

Atas asas yang sama, mencintai bangsa tidak sama dengan ‘asabiyyah. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ‘asabiyyah yang tercela ialah apabila seseorang membantu kaumnya melakukan kezaliman. Justeru, mencintai bangsa itu fitrah, mengagungkannya mengatasi agama adalah jahiliah.

Memperkasa bangsa itu tanggungjawab; menzalimi bangsa lain adalah ‘asabiyyah. Mempertahankan hak bangsa dibenarkan, mempertahankan kesalahan bangsa sendiri adalah pengkhianatan terhadap keadilan.

Allah SWT menegaskan, “Hendaklah kamu menjadi orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, ibu bapa dan kaum kerabat.” (Surah al-Nisa’: 135)

Islam tidak mengenal prinsip ‘bangsaku benar walaupun zalim’. Kerana kesetiaan seorang Muslim yang tertinggi ialah kepada Allah, kebenaran dan keadilan.

Tanah air bersama, identiti asas yang jelas

Mengakui Malaysia sebagai tanah air bersama tidak bermaksud kita mesti memadamkan identiti asas negara. Keadilan tidak menuntut sejarah dilupakan, sebagaimana kesetaraan kewarganegaraan tidak bererti semua unsur sejarah, bahasa, agama dan institusi negara perlu dineutralkan sehingga tiada lagi teras yang dapat dikenali.

Masyarakat Cina dan India bukan tetamu, manakala masyarakat Orang Asli serta anak negeri Sabah dan Sarawak mempunyai sejarah dan kedudukan tersendiri yang wajib dihormati. Semua warganegara yang sah berhak menikmati keselamatan, peluang, maruah dan perlindungan undang-undang.

Pada masa yang sama, Perlembagaan Persekutuan menyusun keseimbangan tersebut dengan jelas. Perkara 3 meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, manakala Perkara 153 memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak di samping kepentingan sah kaum-kaum lain. Prinsip kesamarataan di sisi undang-undang pula termaktub dalam Perkara 8.

Susunan ini bukan suatu percanggahan. la adalah formula kenegaraan yang menggabungkan identiti asas dengan kewarganegaraan bersama, kedudukan majoriti dengan kepentingan sah komuniti lain, serta kesinambungan sejarah dengan tuntutan keadilan semasa.

Kepimpinan: Pertemuan antara amanah dan kekuatan

Fiqh siyasah tidak melihat kepimpinan hanya daripada sudut kesolehan peribadi.

Pemerintahan turut memerlukan kemampuan, kewibawaan, penerimaan masyarakat dan kekuatan yang memungkinkan negara berfungsi.

Perbahasan klasik mengenai kedudukan Quraisy dalam kepimpinan, termasuk pengalaman Saqifah Bani Sa’idah, menunjukkan bahawa realiti sosial dan kemampuan menyatukan masyarakat turut menjadi pertimbangan siyasah.

Sebahagian sarjana menghubungkan kedudukan Quraisy pada zamannya dengan kekuatan sosial, solidariti dan penerimaan masyarakat.

Namun kekuatan tidak pernah menjadi lesen mutlak untuk berkuasa. la mesti dipandu amanah.

Di sinilah Islam mempertemukan al-quwwah wa al-amanah, iaitu kemampuan dan integriti. Agama tanpa kemampuan boleh menyebabkan cita-cita pemerintahan tidak terlaksana, sedangkan kemampuan tanpa agama boleh melahirkan kekuasaan tanpa pedoman.

Sejarah Islam sendiri membuktikan kepimpinan umat tidak dimonopoli satu bangsa. Selepas bangsa Arab, muncul bangsa Turki, Kurdi dan pelbagai bangsa lain yang memberikan sumbangan besar kepada peradaban Islam. Di Alam Melayu, kesultanan-kesultanan Melayu pula menjadi wahana perkembangan Islam dan pembinaan tamadun rantau ini.

Hakikatnya, Allah boleh mengangkat mana-mana bangsa yang bersedia memikul amanah dan menggantikannya apabila amanah itu dikhianati, “Jika kamu berpaling, nescaya Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; kemudian mereka tidak akan menjadi seperti kamu.” (Surah Muhammad: 38)

Kuasa bukan hak pusaka sesuatu bangsa. la amanah yang mesti sentiasa dibuktikan kelayakannya.

Melayu-Islam menjadi teras dalam konteks Malaysia?

Persoalan ini mesti dibaca melalui fiqh al-waqi Malaysia. Malaysia terbentuk daripada sejarah, demografi, institusi dan kerangka perlembagaannya yang tersendiri. Perkara 3(1)

Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, sementara Perkara 160(2) memasukkan penganutan Islam sebagai salah satu unsur definisi perlembagaan bagi orang Melayu. Pada masa yang sama, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak perlu dibaca bersama kepentingan sah komuniti-komuniti lain.

Justeru, hujah kepimpinan Melayu-Islam tidak sepatutnya dibina atas dakwaan bahawa ‘Melayu mesti memimpin kerana Melayu lebih mulia’. Itu supremasi etnik yang bercanggah dengan neraca Islam.

Sebaliknya, kedudukan demografi, sejarah dan perlembagaan meletakkan Melayu-Islam sebagai salah satu tonggak utama kestabilan politik negara. Oleh sebab itu, kedudukan tersebut membawa amanah sejarah dan tanggungjawab siyasah, bukannya lesen untuk mendominasi.

Melayu memimpin juga tidak bermaksud bukan Melayu dipinggirkan. Jika pemerintahan Melayu-Islam menghasilkan ketidakadilan kepada masyarakat Cina, India, Orang Asli, masyarakat Sabah dan Sarawak atau penganut agama lain, maka kepimpinan tersebut telah gagal memenuhi tuntutan Islam.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah; kerana keadilan itu lebih dekat kepada taqwa.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Ukuran kejayaan kepimpinan Melayu-Islam bukan sekadar berapa banyak manfaat diperoleh orang Melayu, tetapi sejauh mana kepimpinannya menghasilkan keadilan, keamanan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Hak sejarah memberikan tapak kepimpinan. Amanah dan prestasi mengekalkan legitimasinya.

Kuasa Islam ialah kuasa yang melindungi

Falsafah kekuasaan Islam sangat jauh daripada dominasi semata-mata. Surah al-Hajj ayat 40 menggambarkan fungsi kekuatan dan kekuasaan Islam dalam melindungi biara, gereja, rumah ibadat Yahudi dan masjid daripada kemusnahan.

Ayat berikutnya pula menerangkan tanggungjawab mereka yang diberikan kekuasaan mesti mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Ini membawa mesej siyasah yang besar iaitu kuasa Islam ialah kuasa yang melindungi.

Masyarakat minoriti tidak sesekali hidup dalam ketakutan apabila Islam memimpin. Sebaliknya, mereka seharusnya merasakan keselamatan dan keadilan apabila prinsip Islam benar-benar diterjemahkan dalam pemerintahan.

Falsafah yang sama tergambar dalam Surah al-Nur ayat 55 melalui tiga dimensi besar iaitu istikhlaf, tamkin dan keamanan. Kekuasaan ialah amanah memakmurkan bumi, tamkin menyediakan ruang bagi nilai agama ditegakkan; sementara natijah akhirnya ialah keamanan.

Justeru, kejayaan politik Islam bukan sekadar memperoleh kekuasaan. Kuasa yang diberkati ialah kuasa yang membolehkan rakyat hidup aman, keluarga bermaruah, peniaga mencari rezeki tanpa penindasan, golongan lemah dibela, agama dihormati dan masyarakat berlainan kepercayaan hidup secara tenteram.

Daripada ketuanan kepada kepimpinan beramanah

Atas dasar itu, wacana Melayu-Islam perlu bergerak daripada persoalan mempertahankan kedudukan kepada persoalan kelayakan memikul kedudukan.

Tidak memadai berkata Melayu mesti memimpin. Persoalan lebih penting ialah iaitu Melayu bagaimana yang mahu kita tampilkan sebagai pemimpin?

Bangsa semata-mata tidak memberikan legitimasi moral kepada rasuah, salah guna kuasa, kronisme, kemalasan, kejahilan atau pengkhianatan terhadap amanah. Islam menuntut pemimpin yang berintegriti, kompeten, adil dan berani mempertahankan kebenaran.

Maka perjuangan mempertahankan kepimpinan Melayu-Islam mesti berjalan serentak dengan perjuangan mengislahkan Melayu-Islam.

Kita bukan sekadar memerlukan Melayu yang berkuasa. Kita memerlukan Melayu yang layak berkuasa.

Kelayakan itu perlu dibuktikan sekurang-kurangnya melalui lima perkara.

Pertama, integriti institusi.

Pemimpin Melayu-Islam mesti berani menolak rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa walaupun pelakunya datang daripada kelompok sendiri. Keadilan yang hanya digunakan terhadap lawan bukanlah keadilan Islam.

Kedua, keupayaan ekonomi.

Keupayaan ekonomi Melayu-Islam mesti dibina dengan memahami ketidakseimbangan sejarah yang diwarisi. Perlindungan terhadap kepentingan Melayu bukanlah tongkat bagi bangsa yang enggan bersaing, tetapi sebahagian daripada usaha membetulkan ketidakseimbangan pemilikan, peluang dan kekuatan ekonomi yang terbentuk sejak zaman penjajahan. Pada masa yang sama, perlindungan tersebut mesti disertai usaha memperkukuh daya saing, pemilikan aset, keusahawanan dan penguasaan sektor-sektor strategik.

Ketiga, ilmu, teknologi dan profesionalisme.

Generasi baharu mahu melihat kompetensi. Penguasaan ilmu, teknologi, data, kecerdasan buatan, pentadbiran dan disiplin profesional kini menjadi sebahagian daripada tuntutan siyasah.

Keempat, keyakinan budaya.

Bahasa Melayu perlu diperkukuh sebagai bahasa ilmu, pentadbiran dan kebangsaan tanpa menghalang rakyat mempelajari serta menggunakan bahasa lain. Identiti yang yakin tidak perlu memadam identiti orang lain untuk membuktikan kewujudannya.

Kelima, keadilan sosial untuk semua.

Kemiskinan, kos sara hidup, perumahan, pendidikan, kesihatan dan bencana tidak memilih kaum. Kepimpinan Melayu-Islam mesti mendahulukan mereka yang paling memerlukan tanpa mengabaikan tanggungjawab memperkasa masyarakat yang masih tertinggal.

Inilah kontrak moral kepimpinan Melayu-Islam iaitu mempertahankan teras negara sambil memastikan naungannya sampai kepada semua.

Majoriti tidak perlu takut kepada minoriti. Sebaliknya, majoriti yang yakin terhadap aqidah dan identiti islamnya mempunyai kekuatan untuk berlaku adil, mempertahankan aqidah tanpa memaksa kepercayaan, memelihara identiti tanpa menghina identiti lain, menjaga hak majoriti tanpa menafikan hak minoriti, serta mempertahankan Islam dengan memperlihatkan rahmatnya kepada seluruh alam.

Inilah makna rahmatan lil-‘alamin dalam kehidupan bernegara.

Daripada politik survival kepada politik dakwah dan risalah

Bagi gerakan Islam, kuasa Melayu-Islam tidak boleh dilihat semata-mata melalui lensa survival pilihan raya. Politik Islam jauh lebih luas daripada jumlah kerusi dan pembentukan kerajaan. Pilihan raya hanyalah salah satu medan dalam perjuangan membina masyarakat, menegakkan keadilan dan menjaga kemaslahatan manusia.

Justeru, pendekatan siyasah yang berbeza mengikut negeri, komposisi pengundi, kekuatan parti atau kemungkinan pembentukan kerajaan perlu dibaca melalui fiqh al-waqi’, fiqh al-awlawiyyat, fiqh al-muwazanat dan pertimbangan ma’alat.

Strategi boleh berubah. Tahaluf dan ta’awun boleh berubah. Pembahagian kerusi dan pendekatan pilihan raya boleh berubah. Tetapi prinsip tidak boleh berubah.

Thawabitnya ialah Islam, keadilan, amanah, kebajikan rakyat dan pencegahan kemudaratan. Mutaghayyiratnya ialah pendekatan, strategi dan wasilah yang disesuaikan dengan maslahat semasa.

Kematangan sesebuah gerakan Islam justeru terletak pada kemampuannya membezakan antara prinsip yang wajib dipertahankan dengan strategi yang perlu disesuaikan.

Bagi PAS, cabarannya bukan sekadar mengukuhkan sokongan Melayu-Islam. PAS mesti membuktikan bahawa pengukuhan politik Melayu-Islam mampu melahirkan Malaysia yang lebih adil, stabil dan berperikemanusiaan. Dakwaan itu tidak akan dimenangi melalui slogan sahaja, tetapi mesti dirasakan melalui mutu pentadbiran, kebersihan kerajaan, keberkesanan perkhidmatan dan akhlak para pemimpinnya.

Generasi baharu dan masa depan kepimpinan Melayu-Islam

Kepimpinan Melayu-Islam tidak boleh dipertahankan dengan nostalgia sejarah semata-mata. Generasi muda tidak cukup diyakinkan bahawa nenek moyang mereka pernah memerintah rantau ini.

Jika Melayu-Islam mahu terus menjadi teras kepimpinan negara, mereka mesti membuktikan kelayakan melalui ilmu, penguasaan teknologi, kekuatan ekonomi, profesionalisme, akhlak dan integriti.

Kepimpinan masa hadapan tidak boleh sekadar dituntut berdasarkan sejarah, ia mesti dibuktikan melalui prestasi.

Inilah juga cabaran besar PAS sebagai gerakan Islam dalam sebuah demokrasi masyarakat majmuk. PAS perlu membuktikan bahawa pengukuhan politik Melayu-Islam tidak bercanggah dengan pembinaan Malaysia yang inklusif. Malah kedua-duanya sepatutnya saling memperkukuh.

Melayu-Islam yang kuat aqidahnya mesti mampu menawarkan pemerintahan yang lebih bersih, ekonomi yang lebih manusiawi, pendidikan yang berkualiti, kebajikan yang menyeluruh, keluarga yang terlindung dan hubungan antara kaum yang lebih tenteram.

Apabila masyarakat bukan Islam mengalami sendiri keadilan tersebut, mereka tidak lagi menilai kepimpinan Islam berdasarkan naratif ketakutan atau propaganda, tetapi berdasarkan pengalaman hidup di bawah pemerintahan yang adil.

Ancaman terbesar kepada kepimpinan Melayu-Islam bukan semata-mata datang daripada bangsa lain. Ancaman yang lebih mendasar ialah apabila Melayu-Islam sendiri kehilangan sebab-sebab yang menjadikan mereka layak memimpin, apabila agama ditinggalkan pada tahap nilai, amanah dikhianati, keadilan diketepikan dan kuasa dijadikan kepentingan diri.

Penutup: Melayu memimpin dengan Islam yang menaungi semua

Islam mengiktiraf bangsa tetapi menolak ‘asabiyyah. Islam mengiktiraf kekuatan majoriti tetapi mewajibkan perlindungan terhadap minoriti. Islam mengiktiraf kuasa tetapi mengikatnya dengan amanah. Islam mengiktiraf kepimpinan tetapi mensyaratkannya dengan keadilan.

Maka Melayu-Islam tidak bercita-cita memimpin untuk berada di atas bangsa lain. Melayu-Islam bercita-cita memimpin untuk menyatukan, melindungi dan berkhidmat kepada semua.

Perjuangan Melayu-Islam yang sebenar bukan sekadar mempertahankan kedudukan politik, tetapi membina generasi yang benar-benar layak menerima amanah kepimpinan, berilmu, bertaqwa, berintegriti, kompeten dan berjiwa besar sehingga keadilannya dapat dirasakan oleh seluruh masyarakat.

Malaysia tidak memerlukan Melayu yang kuat kononnya untuk menakutkan bangsa lain. Malaysia memerlukan Melayu-Islam yang cukup kuat untuk melindungi semua bangsa.

Tidak memadai Melayu sekadar memimpin; Melayu mesti memimpin dengan Islam. Tidak memadai Islam disebut dalam slogan, Islam mesti diterjemahkan menjadi keadilan, amanah, khidmat dan rahmat kepada seluruh rakyat.

Apabila masyarakat majmuk menyaksikan Islam mempertahankan Melayu tanpa menzalimi bukan Melayu, membela umat Islam tanpa mengabaikan hak penganut agama lain, mempertahankan prinsip tanpa kehilangan ihsan, serta menggunakan kuasa bukan untuk mendominasi tetapi untuk melindungi, maka pada ketika itulah ‘Islam Memimpin’ tidak lagi sekadar menjadi slogan politik, tetapi menjelma sebagai pengalaman keadilan yang hidup di tengah-tengah masyarakat.

USTAZ NUSHI MAHFODZ
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat
Pengerusi Lajnah Pendidikan dan Pengajian Tinggi PAS Selangor
Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih – HARAKAHDAILY 27/7/2026

Rujukan asas

[1] Al-Quran: Surah al-Hujurat 49:13; al-Rum 30:22; al-Tahrim 66:6; al-Syu’ara’ 26:214; Ibrahim 14:4; al-Nisa’ 4:135; al-Ma’idah 5:8; Muhammad 47:38; al-Hajj 22:40-41; al-Nur 24:55.

[2] Perlembagaan Persekutuan: Perkara 3, 8, 152, 153 dan 160.

- Advertisement -