
PASIR PUTEH: Pembukaan semula Jeti Tok Bali baru-baru ini memberi manfaat kepada pelbagai pihak khususnya dalam memperkukuhkan sektor pelancongan negeri serta merancakkan ekonomi masyarakat setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, pembukaan semula jeti berkenaan mampu meningkatkan keselesaan orang ramai di samping memudahkan akses pelancong ke Pulau Perhentian.
Beliau berkata, Jeti Tok Bali mula beroperasi semula kepada orang ramai pada 24 Julai lalu susulan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Daerah Pasir Puteh dan Nasrom Travel & Tours Sdn Bhd.
Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
“Pembukaan semula Jeti Tok Bali ini merupakan satu perkembangan positif kepada industri pelancongan Kelantan kerana ia menyediakan laluan alternatif yang lebih mudah dan selesa ke Pulau Perhentian.
“Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pelancong tempatan dan antarabangsa, malah turut membuka peluang ekonomi kepada pengusaha pelancongan, hotel, resort, inap desa serta komuniti setempat,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, perkhidmatan bot ke Pulau Perhentian kini dikendalikan Nasrom Travel & Tours Sdn Bhd yang menawarkan pelbagai kemudahan kepada pelancong.
“Antara perkhidmatan yang disediakan ialah tiket bot ke Pulau Perhentian, sewaan bot persendirian, tempahan individu dan berkumpulan, pakej percutian, lawatan korporat serta kemudahan parkir berkawal yang dilengkapi sistem televisyen litar tertutup.
“Sempena pembukaan semula jeti itu, tambang bot dua hala turut ditawarkan pada harga promosi bermula RM90,” ujarnya lagi.
Beliau berharap pembukaan semula Jeti Tok Bali akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat di samping mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai antara destinasi pelancongan utama di Pantai Timur.
Sehubungan itu, beliau mengalu alukan kerjasama daripada hotel, resort, inap desa dan ejen pelancongan untuk bersama-sama mempromosikan Jeti Tok Bali sebagai pintu masuk utama ke Pulau Perhentian. –HARAKAHDAILY 27/7/2026











