
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam kenyataannya sama sekali tidak membawa mesej perkauman atau kebencian terhadap kaum Cina dan India.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, mesej disampaikan pemimpin itu sebaliknya berkaitan kepentingan kuasa politik orang Melayu-Islam sebagai tunjang keutuhan serta kestabilan politik negara.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menegaskan, tuduhan bahawa mesej disampaikan Muhammad Sanusi bersifat perkauman hanyalah tohmahan yang dilemparkan pemimpin DAP dan Pakatan Harapan (PH).
Ahmad menjelaskan, apabila politik tunjang itu terus kukuh, bukan sahaja orang Melayu-Islam terbela, malah golongan bukan-Islam juga mendapat layanan seadilnya kerana Islam adalah agama yang adil untuk semua.
Pesuruhjaya PAS Kedah itu mengingatkan, kewajipan berlaku adil adalah perintah Allah SWT dan sekiranya orang Melayu-Islam memimpin, mereka juga wajib membela golongan bukan-Islam.
“Bagi saya, MB Sanusi sudah berhujah berdasarkan fakta. Jelas dan terang tanpa bersembunyi. Malangnya, DAP dan sekutunya dalam PH membalas dengan fitnah, adu domba dan sentimen kosong,” kesalnya.
Dalam pada itu, Ahmad menyeru supaya Penyatuan Ummah dibina dengan asas yang kukuh kerana ia bukan hanya untuk orang Melayu, sebaliknya turut melibatkan semua pihak.
“Usah percayakan mereka yang meminta perpecahan, kerana mesej penyatuan ummah adalah mesej perpaduan yang sebenar,” jelas beliau lagi.
Ahmad turut berpandangan, ucapan Muhammad Sanusi itu baik dan wajar menjadi bahan perbincangan pelbagai pihak, namun terdapat pihak sengaja tidak memahami serta memanipulasikannya untuk tujuan yang salah.
“Bagi saya, yang mahu diterangkan ialah setiap negara di dunia ini ada bangsa peribuminya, dan peribumi bagi negara Malaysia adalah orang Melayu.
“Patut sangat diingatkan, bahawa Malaysia atau Tanah Melayu ini adalah satu-satunya negara bagi orang Melayu, jadi orang Melayu perlu bersatu mempertahankannya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 27/7/2026



















