
SELEPAS membetulkan akidah dan membimbing manusia melalui syariat, Islam turut mengajar satu lagi prinsip yang sangat penting, iaitu agama ini dibina di atas kemudahan, bukannya kesukaran.
Rasulullah SAW bersabda bahawa agama ini ialah agama yang mudah. Sesiapa yang memberat-beratkan agama melebihi batas yang ditetapkan akhirnya akan tewas. Islam tidak pernah bertujuan membebankan manusia.
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW juga mengingatkan supaya manusia memudahkan urusan dan jangan menyusahkannya, serta membawa khabar yang menggembirakan dan jangan menyebabkan orang menjauh daripada agama. Ini menjadi asas penting dalam dakwah dan pendidikan Islam.
Kemudahan yang dimaksudkan bukan bererti meremehkan syariat atau mencari jalan untuk mengelak daripada tanggungjawab. Sebaliknya, Islam sentiasa mengambil kira kemampuan manusia tanpa mengorbankan prinsip agama. Apabila Rasulullah SAW diberikan pilihan antara dua perkara, Baginda sentiasa memilih yang lebih mudah selagi tidak membawa kepada dosa. Daripada petunjuk ini jelas bahawa memudahkan urusan manusia merupakan sebahagian daripada rahmat yang dibawa oleh Islam.
Walau bagaimanapun, agama yang mudah tidak bererti agama yang boleh dipermudah-mudahkan. Kemudahan yang diberikan oleh syariat mempunyai sebab, syarat dan batas yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Islam tidak mengajar manusia mencari jalan yang paling ringan semata-mata kerana mengikut kehendak diri. Sebaliknya, syariat memudahkan manusia mengikut petunjuk wahyu tanpa mengorbankan hukum dan prinsip yang telah ditetapkan.
Dalam kehidupan, manusia sering terjerumus kepada dua sikap yang melampau. Ada yang terlalu longgar sehingga syariat dipandang ringan. Ada pula yang terlalu keras sehingga agama dirasakan membebankan. Kedua-duanya bukan jalan yang diajar oleh Rasulullah SAW.
Keadaan ini boleh diumpamakan seperti memakai tali pinggang. Jika dipakai terlalu longgar, seluar akan jatuh dan tujuan asal memakainya tidak lagi tercapai. Jika dipakai terlalu ketat pula, pemakainya sendiri akan berasa terseksa. Pergerakan menjadi sukar, malah ketika makan pun terasa sempit dan tidak selesa. Begitulah juga agama. Terlalu longgar akan menghilangkan disiplin syariat, manakala terlalu ketat akan menyebabkan manusia menjauh kerana merasakan agama itu terlalu sukar. Jalan yang diajar oleh Islam ialah jalan pertengahan, iaitu berpegang teguh kepada syariat tanpa melampaui batas.
Sebab itu para pendidik dan pendakwah perlu memahami kemampuan manusia. Tidak semua orang berada pada tahap yang sama. Ada yang baru mengenal agama, ada yang masih belajar dan ada yang telah lama mendalami ilmu. Hikmah dalam berdakwah ialah membawa manusia meningkat sedikit demi sedikit, bukan meletakkan beban yang tidak mampu mereka pikul.
Prinsip ini dapat dilihat dalam cara Rasulullah SAW mendidik para Sahabat. Abdullah bin ’Amr bin al-’As RA pernah berazam untuk berpuasa setiap hari dan mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh yang sangat singkat. Rasulullah SAW membimbing beliau supaya mengurangkan kadar ibadah tersebut kepada amalan yang mampu dilakukan secara berterusan. Baginda akhirnya menjelaskan bahawa puasa yang paling utama ialah puasa Nabi Daud AS, iaitu berpuasa sehari dan berbuka sehari. Baginda juga mengingatkan bahawa amalan yang paling dicintai Allah SWT ialah amalan yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit. Ini menunjukkan bahawa semangat yang tinggi memang terpuji, tetapi semangat itu perlu dipandu oleh kebijaksanaan dan keseimbangan.
Prinsip yang sama juga dapat dilihat dalam kisah seorang lelaki yang datang menghadap Rasulullah SAW setelah melakukan persetubuhan dengan isterinya pada siang Ramadan. Rasulullah SAW tidak terus memarahinya atau menghukumnya tanpa pertimbangan. Sebaliknya, Baginda membimbingnya melalui pilihan kifarah yang telah ditetapkan syarak mengikut kemampuan. Apabila lelaki itu tidak mampu memerdekakan seorang hamba, tidak mampu berpuasa selama dua bulan berturut-turut dan tidak mampu memberi makan enam puluh orang miskin, datang pula seseorang membawa sebakul tamar kepada Rasulullah SAW. Baginda menyuruh lelaki itu menyedekahkan tamar tersebut sebagai kifarah. Namun dia menjawab bahawa tiada keluarga di Madinah yang lebih miskin daripada keluarganya. Mendengar jawapan itu, Rasulullah SAW tersenyum lalu membenarkan dia membawa pulang tamar tersebut untuk diberikan kepada keluarganya. Peristiwa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim ini memperlihatkan bahawa syariat bukan bertujuan menyusahkan manusia, sebaliknya mendidik mereka dengan penuh hikmah, rahmat dan kasih sayang.
Para ulama sentiasa menitikberatkan soal keikhlasan dalam beribadah. Rasulullah SAW sendiri mengajar bahawa solat sunat lebih baik dilakukan di rumah selain solat fardu. Berpandukan hadis ini, para ulama seperti Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa amalan yang dilakukan di rumah lebih jauh daripada sifat riak dan lebih hampir kepada keikhlasan. Nilai sesuatu ibadah tidak hanya diukur pada banyaknya amalan, tetapi juga pada hati yang ikhlas ketika melaksanakannya.
Begitu juga dengan lafaz niat yang diajar oleh sebahagian fuqaha. Tujuannya bukan untuk membebankan orang ramai atau menjadikan ibadah semakin rumit. Lafaz tersebut hanyalah sebagai panduan untuk membantu menghadirkan niat di dalam hati, khususnya bagi mereka yang masih belajar. Yang menjadi asas menurut jumhur fuqaha tetaplah niat yang hadir di dalam hati, manakala lafaz hanyalah satu bentuk bimbingan.
Inilah keindahan Islam. Agama ini mendidik manusia supaya berpegang teguh kepada syariat tanpa bersikap melampau. Ia membina umat yang berdisiplin tanpa menjadi keras, dan memudahkan urusan tanpa menggadaikan prinsip.
Semua ini menunjukkan bahawa pembinaan negara menurut Islam tidak bermula dengan kuasa atau pemerintahan semata-mata. Ia bermula dengan pembinaan manusia yang memahami agama secara benar, seimbang dan penuh hikmah. Apabila manusia terbina dengan kefahaman seperti ini, ibadah tidak lagi dirasakan sebagai beban. Sebaliknya, ibadah menjadi proses tarbiah yang membentuk jiwa, memperindahkan akhlak dan mendidik manusia supaya sentiasa hidup dalam keseimbangan. Daripada insan yang seimbang inilah lahir keluarga yang baik, masyarakat yang harmoni dan akhirnya sebuah negara yang mampu menegakkan keadilan menurut petunjuk Allah SWT.
DATO’ SRI AMAR D’RAJA MOHD AMAR ABDULLAH
Naib Presiden PAS – HARAKAHDAILY 29/7/2026











