
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengupas sejarah Tanah Melayu dalam ceramah di Negeri Sembilan baru-baru ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen di media sosial, khususnya di Threads.
Sebahagian netizen menyatakan ucapan berkenaan mendorong masyarakat kembali membaca buku sejarah dan mengkaji semula asal usul nenek moyang masing-masing.
Pengguna media sosial, @actanonverba4356 berkata, isu berkenaan menjadi punca orang Malaysia kembali rajin membaca buku sejarah serta mengkaji semula asal usul masing-masing.
Sementara itu, @iszuanzainal menyatakan, berdasarkan ceramah penuh Muhammad Sanusi, beliau tidak menyuruh kaum bukan Melayu keluar dari Malaysia.
Menurutnya, antara perkara yang menarik perhatian dalam ceramah berkenaan ialah seruan supaya rakyat mengambil berat mengenai tanggungjawab mengundi.
“Bangsa lain sanggup habis puluh ribu sebab balik dari ‘oversea’ nak mengundi, hangpa RM50-RM100 nak balik ngundi berkira!!” tulisnya.
Selain itu, @penghias_agama juga menyatakan, kenyataan Sanusi tersebut menjadi punca masyarakat Melayu mula tersedar, dan mahu membukabuku Sejarah kembali.
Ucapan dilihat sebagai peringatan sejarah
Beberapa netizen turut menyifatkan ucapan Ketua Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL itu sebagai peringatan berkaitan sejarah.
@Tyhanour berkata, ceramah penuh selama kira-kira 50 minit itu mengandungi pelbagai penerangan berkaitan sejarah termasuk kisah Kedah, Malayan Union, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Persekutuan Tanah Melayu (PTM) 1948 serta sejarah Pulau Pinang-Kedah.
Menurutnya, perkara yang menjadi tular hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan ceramah berkenaan.
“Rasa macam masuk kelas sejarah. Banyak jaa ‘input’ yang boleh dapat tapi yang viral nya hat benda tak sampai seminit,” kesalnya.
@Wakdoyok pula menyatakan, masyarakat perlu kembali kepada sejarah dan tidak melupakan perkara berkaitan asal usul.
@Solisidtor berharap, lebih ramai individu seperti Muhammad Sanusi diperlukan untuk mengingatkan generasi akan datang mengenai sejarah dan asal usul.
“Kita memerlukan lebih ramai Sanusi untuk mengingatkan generasi akan datang tentang siapa mereka, siapa mereka dahulu. Jangan lupa asal usulmu,” tulisnya.
Netizen pertahan kenyataan Sanusi
Sebahagian netizen turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan Muhammad Sanusi dan berpandangan ia berkaitan sejarah, bukannya seruan menghalau mana-mana kaum.
@Shah_panji mempersoalkan sama ada Mufti Perlis dalam satu video yang tular pernah menghalau mana-mana pihak, sambil menyatakan maksud kenyataan itu sama seperti yang disampaikan Muhammad Sanusi.
@Amofficialmy pula memaklumkan, masyarakat Cina dan India yang lahir di Malaysia adalah rakyat Malaysia, begitu juga masyarakat Melayu.
Menurutnya, kenyataan berkaitan orang Cina balik China atau orang India balik India bukan bermaksud menyuruh mereka berbuat demikian, sebaliknya berkaitan asal usul keturunan.
“Lahir sini, mati pun sini. Melayu juga sama. Sanusi cuma cakap dari segi Antropologi, asal usul keturunan. Bukan dia suruh Cina balik pun. Kat mana jadi rasis?” soalnya.
Sementara itu, @ana.ctrohana menegaskan, Malaysia mempunyai sejarah dan identiti tersendiri, manakala fauziahnawi menulis mengenai kepentingan menjaga tanah, air dan tanah air.
Dikatakan cetus kesedaran politik
Beberapa netizen turut menyifatkan ucapan Muhammad Sanusi sebagai mencetuskan kesedaran politik dalam kalangan masyarakat.
@Shahidahsyatilla yang menyatakan dirinya sebagai pengundi atas pagar menegaskan, kenyataan Muhammad Sanusi mengenai Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tanah air membuatkannya sedar mengenai pilihan politik pada masa akan datang.
“Terima kasih Dato Seri,” tulisnya.
@Eden.nismilan turut mengucapkan terima kasih kepada Muhammad Sanusi kerana menyifatkan beliau mengingatkan semula sejarah asal usul tanah air serta membangkitkan semangat anak muda untuk mempertahankan tanah air melalui kesedaran politik.
@Encikromat pula berpandangan pihak yang mengkritik kenyataan Muhammad Sanusi sepatutnya tidak memberi perhatian kerana ia memberikan lebih pendedahan kepada beliau.
“PH dah buat silap. Sepatutnya ucapan Sanusi tu biarkan je.. tak perlu ambil bahagian. Sekarang dah bagi ‘exposure’ berlebihan pada Sanusi.
“Dan Sanusi ‘confirm’ akan turun ke N9 untuk berucap. Rasa sikit ke manusia yang akan datang lepas dapat ‘exposure’ tu? Haha… lagi ‘jammed’ N9 tu nanti,” ulasnya.
@nomn0_0m pula menyatakan, beliau bersyukur kerana mempunyai tokoh seperti Sanusi, Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana bersuara bagi pihaknya.
@alsarmada menegaskan bahawa sekiranya masyarakat berada pada titik terendah sebagai orang Melayu dan terkesan dengan kenyataan Sanusi, mereka perlu menanggalkan songkok serta bersiap untuk meninggalkan Tanah Melayu ini dan mencari tanah lain.
@sarahwayne pula meminta sesiapa yang tidak memahami memahami kenyataan Sanusi itu perlu mengambil subjek Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kembali.
“Siapa kat sini Sejarah A+ dan sokong penyataan Sanusi. Siapa yang tak faham penyataan Sanusi pergi ambil SPM Sejarah balik! Hahah,” katanya.
Dalam pada itu, beberapa pengguna lain turut menyatakan sokongan terhadap Muhammad Sanusi, antaranya amlnasrdn dan @fiqtzyyy yang menggunakan ungkapan sokongan terhadap Menteri Besar Kedah itu. – HARAKAHDAILY 29/7/2026











